Gelanggang Pilihan Raya Umum ke-13 dibuka secara rasmi hari ini sebaik bermulanya proses penamaan calon.

Sudah jadi lumrah dalam pertandingan, tiada pihak yang mengaku kalah selagi jendela persaingan terbuka luas sehingga pukul 5 petang, 5 Mei nanti. Parti-parti bertanding baik Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR) melaungkan keyakinan, boleh menang.

Daripada keseluruhan 22 kerusi Parlimen di Selangor, antara kerusi yang dijangka panas ialah Parlimen Ampang, Gombak, Shah Alam, Kota Raja, Sabak Bernam, Subang, Pandan dan Kuala Selangor.



Tetapi satu kerusi yang paling jadi tumpuan ialah P.108 Shah Alam yang menyaksikan pertembungan dua 'sahabat lama' iaitu Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad selaku penyandang yang bakal dicabar oleh bekas Ahli Parlimen Bebas, Datuk Zulkifli Noordin yang juga Naib Presiden Perkasa.

Khalid selaku penyandang tidak gentar berdepan dengan Zulkifli malah menyifatkan pengundi sudah mengenalinya.

"Pengundi Shah Alam dah mengenali saya, yang terpenting ialah persoalan bagaimana rakyat menilai prestasi di peringkat kepimpinan negeri," kata Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor.

Sebagai pencabar, Zulkifli pula menegaskan Shah Alam selaku bandar intelektual memerlukan suntikan nilai tambah yang lebih jitu kepada sistem sedia ada.

"Pengundi Shah Alam ini rata-rata berintelektual, mereka menekankan tentang 'intellectual discourse' dan bukan politik maki hamun," kata bekas Ahli Parlimen Bebas kawasan Kulim Bandar Baharu itu.

Kerusi ini ibarat kertas litmus ujian sentimen pengundi Melayu terutama di kawasan bandar.
Shah Alam didiami rata-ratanya kakitangan serta pesara kerajaan, mahasiswa, peniaga, pekerja kilang dan surirumah yang majoritinya terdiri daripada kaum Melayu.

Parlimen Shah Alam mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Batu Tiga dan Kota Anggerik dan pengundi Melayu mewakili hampir 70 peratus daripada keseluruhan hampir 100,000 pengundi berdaftar.


jumlah pengundi


Kerusi DUN Kota Anggerik akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia, Mohd Yusof Din yang ditentang oleh Ketua Cabang PKR Shah Alam, Dr Yaakob Sapari dan bekas ahli Dewan Pemuda Pas, Eriq Faisal Rusli.

Kerusi DUN Batu Tiga pula ditandingi oleh Ketua Umno Bahagian Shah Alam, Datuk Nawawi M Zin atas tiket BN bersama Timbalan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail dan calon bebas, Uzi Che Hussin.

Sementara itu, Zulkifli menyifatkan kehadiran calon-calon bebas yang bertanding di dua DUN dalam Shah Alam sebagai bukti demokrasi terus subur di Malaysia.

Berdasarkan tinjauan Astro Awani di lapangan serta temubual dengan pengundi-pengundi setempat, rata-rata mereka menyentuh mengenai nilai serta pembaharuan nilai tambah kepada pembangunan sedia ada yang sekaligus mencerminkan sentimen golongan Melayu kelas menengah dan atas.

Zainul Azhar, seorang usahawan IT, menyifatkan cabaran utama kepada calon yang menang PRU-13 ialah mengembalikan identiti Shah Alam sebagai bandar intelektual Melayu dan Islam.

“Shah Alam seakan-akan sudah tiada identiti. Dahulu Almarhum Sultan Salahuddin telah bertitah, Shah Alam sebagai bandar tamadun Islam,” katanya.

Pandangan sama dikongsi oleh seorang pengundi lain, Khairul Rizal Osman. Beliau menegaskan cabaran utama kepada calon-calon di sini ialah merealisasikan hasrat penduduk yang sering membangkitkan isu kualiti kehidupan.

“Kami mahu pembangunan sedia ada ditambah baik dengan khidmat yang memudahkan perjalanan seharian hidup kami,” jelas beliau.

Fahmy Zakariah, seorang aktivis anak muda pula menyeru semua pihak supaya berhenti main politik selepas pilihan raya nanti.

“Cukup-cukuplah berpolitik. Kami mahu lihat perkhidmatan lebih efisyen dan peluang pekerjaan yang lebih besar,” kata Fahmy ketika ditemui di Seksyen 11.

Gelombang kempen 15 hari PRU-13 untuk kerusi P108 ini dijangka sarat dengan isu agama terutama kontroversi isu kalimah Allah. Islam liberal atau pun tidak, golongan berfahaman kanan atau pun kiri, manifestasi rakyat Shah Alam bakal diterjemah 5 Mei ini.

10 kehendak pengundi shah alam