Pas tidak menimbang untuk menawarkan kerusi Parlimen Tasek Gelugor kepada bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd Shariff Omar yang tidak dicalonkan oleh Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Sumber yang dekat dengan penentuan calon Pas memberitahu, setakat ini, calon Pas bagi kerusi itu masih lagi tokoh korporat, Datuk Abdul Rahman Maidin seperti yang diumumkan pada 10 Mac lepas.

"Calon Pas ialah Rahman Maidin," kata sumber itu kepada Astro Awani.

Bagaimanapun satu sumber lain memaklumkan bahawa Pas mungkin terpaksa meneliti semula calon yang akan ia tawarkan bagi kerusi itu kerana beberapa isu yang dikhuatiri boleh membatalkan pencalonan pada hari penamaan calon Sabtu ini.

Shariff malam tadi mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tasek Gelugor selepas namanya tidak disenaraikan sebagai calon Barisan Nasional (BN).

Katanya, beliau sedia jadi calon bebas yang menyokong Pakatan Rakyat.

Shariff membuat pengumuman itu kerana beranggapan kerusi berkenaan hanya "dipinjamkan" kepada calon lain semasa pilihan raya umum 2008.

Pada pilihan raya umum 2008, Shariff memberi laluan kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk bertanding di kerusi parlimen berkenaan atas permintaan Pengerusi BN ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Nor Mohamed menang mengalahkan calon Pas, Ismail Salleh dengan majoriti 4,547 undi.

Pada pilihan raya umum 2004, Shariff mengalahkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Dr. Mujahid Yusof Rawa dengan majoriti yang lebih besar, 10,183 undi.

BN yang mengumumkan senarai calonnya semalam menamakan Ketua Bahagian UMNO Tasek Gelugor, Shahbudin Yahya sebagai calon bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor. Beliau berpindah dari kerusi DUN Permatang Berangan.

Kerusi Parlimen Tasek Gelugor adalah satu daripada dua kerusi parlimen yang dimenangi oleh BN di Pulau Pinang pada pilihan raya umum yang lepas.

Ketika konvensyen sempena sambutan 60 tahun Pas pada 2010, Naib Presiden parti itu, Datuk Husam Musa menamakan kerusi parlimen Tasek Gelugor sebagai salah satu kerusi parlimen yang menjadi sasaran untuk dimenangi di Pulau Pinang.

Pada pilihan raya umum 2008, Pas tidak memenangi sebarang kerusi parlimen di Pulau Pinang. Parti itu hanya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir ketika itu.