Pemimpin masyarakat Vincent Lau Lee Ming hari ini meletak jawatan sebagai 'Temenggong' bagi masyarakat Cina di Bahagian Sibu setelah dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Sibu.

Beliau menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Residen Bahagian Sibu, Sim Kok Kee dengan turut dihadiri Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Lau, 65, yang juga tokoh korporat telah menjadi Temenggong lebih dari tiga tahun yang turut bertanggungjawab menjaga lebih 80 orang Kapitan (ketua kampung), 20 orang Penghulu dan empat 'Pemanca' (penghulu kanan).

Beliau berkata beliau terpaksa melatak jawatan sebagai pemimpin masyarakat kerana mereka tidak dibenarkan aktif dalam politik.

"Saya berazam untuk berkhidmat lebih baik kepada rakyat sekiranya dipilih. Saya mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam pelbagai perkhidmatan masyarakat, dalam pendidikan Cina dan telah bekerja dengan banyak pertubuhan bukan kerajaan Cina," katanya.

Lau berkata masyarakat Cina mesti mempunmyai wakil dalam politik arus perdana bagi membawa transformasi lebih baik dan menjaga kebajikan mereka.

"Tiada makna jika hanya membuat kritikan di sana sini," katanya.

Dalam ucapan ringkasnya, Wong berkata Lau telah melakukan yang terbaik sebagai pemimpin masyarakat.

Beliau berupaya menggabungkan pemimpin dari banyak persatuan Cina di sini dan membentuk mereka sebagai 'barisan bersatu' dan bekerja secara komited membantu masyarakat.

"Beliau kini melihat untuk memikul peranan yang lebih berat dan besar, meliputi spektrum masyarakat yang lebih luas. Sekiranya beliau terpilih, Lau bukan sahaja mewakili masyarakat Cina tetapi semua komuniti di Sibu.

"Lau ialah seorang yang sangat merendah diri. Saya sebagai Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) serta beberapa orang yang lain datang berjumpa beliau sebanyak tiga kali bagi memujuk beliau mempertimbang untuk menjadi calon BN.

"Kami percaya Lau boleh mengembalikan Sibu kepada BN dengan sokongan semula masyarakat Cina kepada gabungan parti memerintah.

"Saya percaya akan berlaku pusingan politik dalam pilihan raya ini. Kami sesungguhnya memerlukan wakil yang lebih besar dalam kerajaan persekutuan.

"Sekiranya kami boleh mengembalikan Sibu dan mengekal Lanang (kerusi Parlimen), ia akan menjadi harta yang tidak ternilai untuk kami terus membangunkan Sibu," tambah Wong.