Parti Liberal Demokratik (LDP), satu daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah, mengemukakan dua muka baharu dalam barisan lima orang calon parti itu yang akan bertanding pada pilihan raya umum 5 Mei ini.

Presiden LDP Datuk VK Liew mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan manakala setiausaha agung Datuk Teo Chee Kang dan naib presiden Pang Yuk Ming mempertahankan kerusi masing-masing di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Kapor dan DUN Merotai.

Dua muka baharu itu ialah ketua Pemuda Chin Shu Ying yang akan bertanding di DUN Likas dan anggota Majlis Tertinggi Charles Pang Su Pin di DUN Karamunting.

"Kita yakin gandingan muka lama dan baharu ini akan membawa kejayaan kepada BN," kata Liew ketika mengumumkan calon LDP di ibu pejabat parti di Kepayan Perdana, dekat sini hari ini.

Pada pilihan raya umum 2008, LDP diperuntukkan kerusi Parlimen Sandakan dan tiga kerusi DUN iaitu Karamunting, Tanjong Kapor dan Merotai dan memenangi kesemua kerusi itu atas tiket BN.

Bagaimanapun anggota DUN Karamunting Datuk Peter Pang keluar LDP bagi menyertai Gerakan pada 2010.

Pada pilihan raya kali ini, selain diperuntukkan semula kerusi Karamunting, Liew berkata parti itu juga diberi peluang bertanding kerusi DUN Likas yang dahulunya diwakili Parti Maju Sabah (SAPP) yang menukar haluan kepada parti pembangkang pada September 2008.