Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack akan bertanding di Parlimen Bentong, Pahang pada pilihan raya umum ke-13 sebagai calon DAP.

Pencalonan Wong yang berusia 53 tahun itu, diumumkan hari ini oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Kalau kita memenangi Parlimen Bentong, maka kita boleh mengambil alih Putrajaya. Itu menunjukkan betapa pentingnya kerusi itu,” kata beliau semasa suatu sidang media.

Parlimen Bentong pada masa ini diwakili Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Timbalan Presiden MCA.

Pada pilihan raya umum 2008, Liow menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat, G. Ponusamy dengan majoriti 12,549 undi.

“Kami berhadapan dengan seorang gergasi (Liow) di Bentong, jadi kami tidak boleh meletakkan sebarang calon. Kami melatakkan sebuah organisasi iaitu Himpunan Hijau,” kata beliau lagi.

Sementara itu Wong berkata dia membenarkan loji nadir bumi Lynas untuk beroperasi di Gebeng, jika syarikat itu mengikuti semua undang negara dan boleh memperbaiki persekitaran.

Wong pada bulan lepas menimbulkan kontroversi apabila dilaporkan mengancam untuk membakar loji nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan sekiranya kilang itu masih beroperasi selepas pilihan raya umum akan datang.

Beliau kemudian dilaporkan meminta maaf atas kenyataan itu.