Calon rakan Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Shah Alam Datuk Zulkifli Nordin hari ini berkata beliau bertanding atas tiket BN kerana baginya hanya BN yang mampu membela nasib rakyat.

Beliau bertekad untuk menang kerusi parlimen itu pada pilihan raya umum 5 Mei ini bagi memastikan BN menguasai kembali Selangor.

Zulkifli, anggota Parlimen Bebas Kulim-Bandar-Baharu sebelum Dewan Rakyat dibubarkan, ialah wakil rakyat PKR bagi kerusi yang dimenanginya pada PRU 2008, sebelum keluar parti.

Beliau percaya kejatuhan calon pakatan PKR/DAP/PAS di Shah Alam, yang merupakan ibu negeri Selangor dan paksi kepada kekuatan sesebuah kerajaan negeri di sini, bakal membuka jalan bagi BN kembali berkuasa di Selangor.

"Saya cukup yakin dengan sokongan yang ditunjukkan jentera BN di sini. Saya bersama jentera BN akan merangka strategi terbaik memastikan kemenangan BN," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak selaku Pengerusi BN Selangor hari ini mengumumkan bahawa Zulkifli yang juga Naib Presiden Perkasa sebagai 'calon rakan BN' bagi kerusi Parlimen Shah Alam.
Kerusi itu disandang Abdul Khalid Samad daripada PAS.

Ditanya sama ada beliau bakal menyertai Umno selepas ini sebagai wakil BN, Zulkifli menjawab: "Buat masa ini saya di bawah BN, sebagai calon BN,".

Ketua Bahagian Umno Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi M Zin yang dinamakan calon BN bagi kerusi DUN Batu Tiga menyifatkan Zulkifli sebagai aset yang dapat memastikan kemenangan BN di Shah Alam.

"Kami di peringkat akar umbi akur dengan keputusan Presiden Umno (Najib) dan akan memberikan sokongan penuh dan padu kepada beliau (Zulkifli) di Shah Alam.

"Akar umbi yakin Zulkifli merupakan calon terbaik bagi memperoleh kembali kerusi Parlimen Shah Alam dan percaya sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, beliau dapat membawa perubahan besar kepada Shah Alam nanti," katanya.