Penganalisis politik menjangkakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan dapat melaksanakan 10 Janji 100 Hari Pakatan Harapan yang menjadi manifesto parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Malah, Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan, Prof. Dr Nasrudin Mohammed berkata, tempoh berkenaan mungkin tidak terlalu panjang untuk Tun Dr Mahathir memandangkan pelantikan Majlis Penasihat Kerajaan yang kuat.

“Pada mulanya, ia agak menggusarkan, namun sebaik sahaja himpunan Majlis Penasihat Ekonomi dilantik bagi melaksanakan janji-janji 100 hari itu dibentuk, seperti Dr Jomo Kwame Sundaram, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, dan Robert Kuok, kita menjadi yakin.

"Dengan kepakaran dan latar belakang tersebut, tempoh 100 hari itu tidaklah terlalu panjang buat Tun Dr Mahathir untuk melunasinya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Pasca PRU14 anjuran Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Shah Alam di sini hari ini.

Ujarnya, sejak dari awal lagi, Tun Dr Mahathir memperlihatkan kesungguhan dan komitmen untuk melunaskan janji Pakatan Harapan.

“Sejak kerajaan hari ini memperoleh mandat, saya melihat kesungguhan tidak berbelah bahagi apabila Tun Dr Mahathir Mohamad memperlihatkan kesungguhan dalam semua isu termasuk 10 janji dalam masa 100 hari.

“Semua itu akan cuba dilaksanakan kerajaan dalam masa 100 hari. Sasaran tersebut diharap akan dapat dipenuhi,” kata beliau.

Pada masa sama, kesungguhan Perdana Menteri itu brtitik tolak daripada reformasi yang disasarkan Pakatan Harapan.

10 Janji 100 Hari Pakatan Harapan ialah mansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah, siasat institusi-institusi yang terpalit dalam skandal terutama sekali isu 1MDB, mengembalikan semula subsidi minyak secara bersasar, menyamaratakan gaji minimum, dan menangguhkan pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk individu yang mendapat gaji kurang daripada RM4,000.

Selain itu, Pakatan Harapan berjanji untuk mengkaji semula langkah pemberian projek mega kepada negara-negara asing, menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda, menubuhkan pasukan bertindak untuk mengkaji memulangkan autonomi yang dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak seperti yang tertakluk dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Pkatan Harapan juga berjanji memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberikan pembiayaan sebanyak RM500 untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40.