Seramai 14 bekas pemimpin dan ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) mengesahkan keluar dari parti itu dan menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Mereka yang keluar parti adalah Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat dan dua bekas Ahli Parlimen, Datuk Joseph Entulu Belaun dan Datuk William Nyallau Badak.

Selain itu ialah Richard Wil Uban, Datuk Kristoffer Nyuak Bajok, Raymond Bullie, Vivien Nyut Nasat, Assan Ngang, Ali Adap, Andrew Lamit, Edward Kurik, Andrew Winston Kaya, Penghulu Michael Derin dan Patrick Sibat Sujang.

Turut menyertai PSB ialah bekas ADUN Marudi, Datuk Sylvester Entri Muran dan pemangku presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), Banyi Beriak.

Kesemua ahli politik itu juga telah menghadiri mesyuarat PSB bersama presidennya, Datuk Seri Wong Soon Koh serta Timbalan Presiden Datuk Dr Jerip Susil dan pemimpin PSB yang lain di Kuching pada Khamis.

Susulan keputusan tersebut, Presiden PRS, Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing akur dengan tindakan semua bekas anggota parti itu.

Bagaimanapun beliau menyifatkan tindakan kumpulan yang meninggalkan parti itu sebagai tidak tahu berterima kasih.

"Perkara yang paling penting adalah berterima kasih kepada institusi atau orang yang telah membantu anda.

"Sebagai manusia, kita semua mempunyai hati nurani, itulah ukuran siapa kita, saya boleh beritahu rakyat makna perkhidmatan mereka, tetapi saya tidak boleh membimbing mereka untuk menjadi orang yang berterima kasih," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mendapatkan respon beliau mengenai tindakan 14 bekas anggota PRS itu.

PSB sebelum ini dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu atau UPP yang merupakan pecahan daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).