Kemelut dalaman MyPPP terus berpanjangan apabila 25 cawangan parti itu di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buntong, di sini menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pemecatan Tan Sri M. Kayveas sebagai presiden.

Mereka menyifatkan pemecatan Kayveas sebagai tidak adil dan bertentangan dengan perlembagaan parti.

Timbalan Pengerusi MyPPP DUN Buntong, Iruthiyam Sebastiar a/l Anthonisamy berkata, pihaknya telah menghantar surat memohon penjelasan daripada Setiausaha Agung MyPPP, Datuk Mohan Kandasamy.

Menurutnya, salinan surat itu turut dihantar kepada pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) di samping akan membuat laporan polis mengenainya.

“Apakah fasal atau peraturan dalam Perlembagaan MyPPP yang dilanggar oleh presiden, yang boleh menyebabkan beliau dipecat dari jawatannya,” soalnya dalam sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat MyPPP DUN Buntong di sini, hari ini.

BACA: 'Kayveas dipecat oleh Lembaga Displin MyPPP'

Sebastiar berkata, menurut Fasal 9.9.1.4 perlembagaan parti itu, presiden sahaja yang berkuasa untuk memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi dan perlembagaan juga tidak menyatakan kelonggaran mengadakan mesyuarat itu boleh dipanggil tanpa kehadiran presiden.

“Oleh itu, bagaimana Majlis Tertinggi boleh dipanggil tanpa arahan dari presiden? Siapakah yang memanggil Mesyuarat Majlis Tertinggi, bila dan siapakah yang mempengerusikan mesyuarat tersebut,” ujarnya.

Kayveas dipecat sebagai presiden dan ahli MyPPP oleh Lembaga Disiplin parti berikutan tindakannya yang dikatakan menyalahgunakan parti untuk agenda peribadi.

Sebelum itu, Kayveas dalam perkongsian di twitternya menjelaskan bahawa beliau meletakkan kesemua jawatan dalam MyPPP.

Sebastiar yang juga Ketua MyPPP Cawangan Ipoh Barat memberi jaminan bahawa ketidakpuasan hati mereka tidak menjejaskan sokongan terhadap calon BN di Buntong iaitu Timbalan Ketua Wanita MIC Pusat yang juga Ketua Wanita MIC Perak, T Thangarani.

“Ini masalah dalaman parti, kami akan terus menyokong dan bekerja kuat untuk membantu calon BN di Buntong,” ujarnya.