Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan sokongan mereka kepada pimpinan Pakatan Harapan negeri Selangor.

Keempat-empat Adun tersebut ialah Adun Kuang, Sallehuddin Amiruddin; Adun Jeram, Mohd Shaid Rosli; Adun Batang Kali, Harumaini Omar dan Adun Dengkil, Adhif Syan Abdullah.

Adun Kuang, Sallehudin Amiruddin berkata keputusan tersebut dibuat oleh keempat-empat Adun setelah mereka mengadakan perbincangan bersama-sama Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kami mengadakan perbincangan panjang bersama-sama Dr Mahathir dan kami memohon pandangan daripada beliau mengenai kedudukan ADUN Bersatu di Selangor.

“Daripada hasil perbincangan tersebut, kami (empat ADUN) membuat keputusan untuk menyokong kerajaan PH negeri Selangor.

“Perinciannya akan kami bincang terus dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tentang kaedah utk melakukan gabungan semula bersama-sama PH,” kata Sallehudin pada sidang media khas yang diadakan oleh ADUN Bersatu Selangor di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Khamis.

BACA: Pentadbiran negeri Selangor tidak lagi dianggotai Bersatu - Menteri Besar

Turut hadir ialah ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli dan ADUN Batang Kali, Harumaini Omar.

Bagaimanapun, Sallehudin berkata keputusan tersebut tidak termasuk Adun Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari kerana beliau tidak dapat dihubungi sejak kemelut politik melanda negara ini.

Abdul Rashid yang juga Pengerusi Bersatu Selangor difahamkan sedang bercuti dan tidak menghubungi Adun Bersatu yang lain bagi mengadakan perbincangan.

Sallehudin berkata keempat-empat Adun tersebut akan berjumpa dengan Amirudin esok (Jumaat) berhubung sokongan mereka kepada kerajaan PH Selangor.

Sementara itu, Adun Jeram, Mohd Shaid berkata keempat-empat Adun Bersatu masih setia kepada parti itu serta tidak mempunyai niat untuk keluar parti dan menjadi Adun Bebas.


Dalam perkembangan yang sama, Adun Batang Kali, Harumaini berkata mereka menghargai mandat yang diberikan kepada mereka dan berpegang kepada prinsip untuk bersama-sama dengan PH, terutamanya di Selangor.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengesahkan bahawa pentadbiran negeri Selangor tidak lagi dianggotai Bersatu.

Untuk rekod, Selangor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan komposisi yang terdiri daripada 19 kerusi dikuasai PKR, DAP (16), Amanah (8), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (5), Barisan Nasional (5), PAS (1) dan Bebas (2).