Empat Ahli Dewan Negeri (ADUN) daripada PAS, tiga daripada PKR dan tiga lagi daripada DAP akan diumumkan menjadi Exco Selangor yang baharu esok.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata ia sekaligus pecahan komposisi sama seperti pada masa pemerintahan menteri besar sebelum ini, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Senarai nama bagaimanapun akan didedahkan pada pagi Jumaat.

Azmin berkata demikian kepada media selepas mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Mestika di Shah Alam.

Exco baru dijangka mengangkat sumpah jawatan masing-masing pada petang Jumaat.

Azmin bagaimanapun di dalam laman Twitter memberitahu, laporan media mengenai pengagihan kuota exco negeri kepada parti-parti adalah tidak tepat selain menambah, proses rundingan bagi exco selangor masih lagi berjalan.