Sebanyak 83 peratus daripada 278,590 anggota keselamatan dan pasangan keluar mengundi awal bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di seluruh negara, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan hari ini berkata kesemua 586 pusat pengundian awal melibatkan 910 tempat mengundi (saluran mengundi) telah ditutup sepenuhnya pada 7 malam tadi.

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dalam kenyataan semalam berkata terdapat seramai 300,255 pengundi awal yang berdaftar bagi PRU14 dengan baki 21,665 orang lagi mengundi secara pos.

Daripada 278,590 pengundi awal tersebut 118,913 adalah warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 159,677 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasangan.

Menurut Mohd Hashim kertas-kertas undi awal tidak dikira di tempat mengundi hari ini, sebaliknya akan disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis. Kertas undi hanya akan dikira pada hari pengundian pada 9 Mei, bermula 4 petang.

-- BERNAMA