Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan seolah-olah mengesahkan pencalonan beliau untuk bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU14) ini apabila mendedahkan bahawa beliau diminta untuk balik ke Parit Buntar.

Menurut beliau Parlimen Parit Buntar yang menggunakan kod P57 seolah-olah ditakdirkan untuk dirinya berikutan mengandungi angka tujuh yang kebetulan sinonim dalam perjalanan hidupnya.

"Angka tujuh sinonim dengan saya, kerana saya datang berkhidmat di Perak tahun 1987, dikeluarkan pada 2007 kemudian balik sehingga 2017 dan kemudian diminta balik ke kawasan (Parit Buntar) yang saya dengar 57 juga rasanya,” kata.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 500 penjawat awam dalam satu majlis di Hotel Casuarina@Meru, di sini malam Rabu.



Majlis Penghargaan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak itu diadakan bersempena dengan persaraan beliau dalam perkhidmatan awam.

Hadir sama, Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Pegawai Kewangan negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal.

Abdul Puhat turut menzahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama padu di sepanjang tujuh tahun perkhidmatannya selaku Setiausaha Kerajaan Negeri.

Malah menurut Abdul Puhat, tugas yang dipikul selama ini menuntutnya untuk mengetepikan soal cuti dan masa bersama keluarga demi memastikan kesejahteraan negeri terjamin.

“Cabaran saya sebagai SS (State Secretary) agak teruk, lebih-lebih semasa kita berhadapan kemarau pada tahun 2014 dan banjir besar pada awal tahun 2015, dengan terpaksa memindahkan kira-kira 30,000 orang, di Perak Tengah khususnya.

“Keluarga dan isteri banyak berkorban untuk saya, semasa saya berkhidmat di Majlis Sukan Negeri (MSN), saya tak bercuti tujuh tahun (boleh tengok rekod cuti) termasuk Sabtu dan Ahad, demi mengembalikan kedudukan negeri di tempat terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry dalam ucapannya menyifatkan Abdul Puhat sebagai penyelesai masalah dan cekap melaksanakan tugas yang diamanahkan.

“Sepanjang tujuh tahun dia berkhidmat di bawah saya,sejak tahun 2011,kita akan kehilangan seorang ketua dan juga pentadbir negeri yang cekap dan saya dapat rasakan pertalian yang erat di sepanjang kerjasama itu,” katanya.

Sementara itu, Zambry turut memberi bayangan dalam nada berkias sebab mengapa Abdul Puhat mahu menamatkan perkhidmatannya, yang berkemungkinan akan menceburi bidang politik.

“Walaupun beliau tidak akan lagi ada dalam lingkungan kita, beliau tetap akan berada di Perak…kita doakan mungkin juga beliau ada di peringkat Pusat sekali gus memberi perkhidmatan dalam kapasiti lain di Perak.

“Segala kemungkinan boleh berlaku, kita doakan agar beliau akan menempuh perjalanan baru ini dengan penuh kesabaran, dan saya yakin perjalanannya terus ke hadapan,” ujarnya.

Abdul Puhat yang merupakan graduan lulusan Universiti Malaya memulakan kerjaya bersama Angkatan Tentera Malaysia dari tahun 1980-1982.

Antara jawatan yang pernah disandang seperti Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak (1997-2004), Pegawai Daerah Kerian merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Kerian (2004-2007) dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) (2007-2011).