Tutup

Ada apa di Istana Negeri, rumah Shafie Apdal?

Ada apa di Istana Negeri, rumah Shafie Apdal?
Suasana di laluan menuju ke Istana Negeri yang dikawal pasukan keselamatan. - Astro AWANI
KOTA KINABALU: Dua lokasi menjadi tumpuan pengamal media di negeri ini buat masa ini, Istana Negeri dan kediaman Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini.

Pengamal media telah mula berkampung di dua lokasi berkenaan seawal jam 9 pagi.

Terdahulu Mohd Shafie tiba di perkarangan Istana Negeri kira-kira jam 10 pagi, dipercayai untuk mengadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahuruddin.

Bagaimanapun beliau tidak dibenarkan masuk ke laluan menuju ke Istana Negeri yang dikawal pasukan keselamatan.
Beliau kemudian beredar daripada lokasi berkenaan dan dijangka kembali selepas mendapat kebenaran pihak istana dan pasukan keselamatan.


Sementara itu, dua pemimpin Barisan Nasional (BN) juga dikhabarkan berada di kediaman Mohd Shafie pagi tadi.
Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ditemani Setiausaha Agung UPKO, Datuk Donald Mojuntin tiba sekitar jam 11.30 pagi.

Kelibat dua pemimpin parti komponen BN itu sekaligus menimbulkan spekulasi kemungkinan kerjasama parti itu dengan pakatan Warisan, PKR dan DAP.


UPKO ada lima kerusi DUN dan satu kerusi parlimen di Sabah.

Buat masa ini, Pakatan pembangkang itu kekurangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membentuk kerajaan ekoran hanya mendapat 29 kerusi.

BN di Sabah juga meraih 29 kerusi, sekaligus menjadikan kerajaan negeri berada dalam keadaan tergantung.

Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang memiliki dua daripada 60 kerusi DUN, setakat ini belum menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak.