Selepas beberapa Barisan Nasional (BN) negeri mengumumkan senarai calon-calon bertanding, kini giliran BN Sabah mendedahkan senarai calon yang ditawarkan untuk memastikan membawa kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pagi ini.

Menurut penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Zaini Othman, berdasarkan 'trend' pengumuman calon-calon BN di beberapa negeri lain di Semenanjung, dijangkakan BN Sabah juga akan mengemukakan beberapa calon muka baharu.

"Saya menjangkakan muka baharu mungkin muncul di DUN Sulabayan dan Bugaya di bawah Parlimen Semporna.

"Muka baharu juga dikhabarkan akan muncul DUN Elopura di bawah Parlimen Sandakan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Selain itu, pertukaran kawasan bertanding beberapa tokoh atau 'heavyweight' tertentu juga berkemungkinan berlaku.

Antaranya Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang dikhabarkan bakal bertanding di kerusi Parlimen Sepanggar.

"Abdul Rahman kita boleh kategorikan sebagai kes bertukar tempat. Beliau merupakan penyandang kerusi Parlimen Kota Belud sebelum ini, dikatakan bakal berpindah ke Sepanggar," katanya.

Malah beliau yang juga Setiausaha BN Sabah kerap turun ke kawasan parlimen itu sejak akhir-akhir ini.

Namun persoalan sama ada Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan akan mempertahankan kerusinya di Parlimen Keningau dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan masih jadi tanda tanya.

"Pairin masih berdiam diri. Beliau sebelum ini membayangkan mahu bersara dari politik. Menurutnya kebarangkalian untuk bertanding mempertahankan kerusinya adalah "satu peratus sahaja" selebihnya 99 peratus waktu mahu diluangkan Timbalan Ketua Menteri Sabah itu bersama keluarga dan cucunya," katanya.

Jika Pairin tidak bertanding kemungkinan Ahli Parlimen Kota Marudu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bakal bertanding di DUN Tambunan juga tinggi.

Namun lebih penting, Zaini berpandangan adalah kritikal untuk BN Sabah meletakkan calon yang sememangnya diingini oleh pengundi.

"Sebenarnya, BN sudah ada semua maklumat ini. Mereka telah menjalankan kajian dan pemerhatian melalui jentera mereka. Kini terpulang sama ada mereka menggunakan maklumat itu dengan sebaiknya," katanya.

Berbanding negeri-negeri lain, senarai calon BN Sabah diumumkan agak lewat.

Ditanya adakah ia berpunca daripada konflik dalaman katanya, "Macam-macam khabar angin tentang itu, tetapi kalau kita tengok 'trend' nasional, semuanya lambat kali ini."

Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dijangka bakal mengumumkan keseluruhan senarai calon bertanding untuk 25 kerusi parlimen dan 60 DUN di Bangunan UMNO Sabah jam 9 pagi.