Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menyangkal dakwaan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari yang mengatakan beliau mempunyai sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang cukup, untuk mempertahankan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Melaka.

Jelas Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional negeri, Adly perlu membuktikan dakwaannya itu.

"Saya menyanggah dakwaan itu dan pihak Barisan Nasional (BN) menyeru agar mereka membuktikan kepada Tuan Yang Terutama Negeri Melaka dengan segera dengan menyerahkan SD (Akuan Bersumpah) sebagai tanda sokongan wakil rakyat.

"Dan sekiranya mereka tidak dapat membuktikan bahawa ada sokongan majoriti, maka kerajaan yang ada masih dalam keadaan tergantung," katanya sebelum Mesyuarat Khas Ketua-Ketua Bahagian Umno di ibu negara petang ini.


Rauf berkata bahawa pihak Barisan Nasional Negeri Melaka juga akan menyerahkan Akuan Bersumpah wakil rakyat kepada TYT Negeri Melaka dalam tempoh terdekat.

"Ketika ini jumlah 13-13. Jika kita dapat dua lagi kerusi bermakna kita boleh bentuk kerajaan. Jika mereka serahkan kepada TYT SD, Barisan Nasional juga akan melakukannya dalam tempoh terdekat," tambahnya.

BACA: Status quo kekal di Melaka, sidang Dun ditangguh - Ketua Menteri

Ketika ditanya adakah pihak Barisan Nasional telah mengadakan rundingan atau persetujuan dengan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri beliau hanya menjawab ringkas 'kita tunggu dan lihat'.