Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad menegaskan beliau tidak akan bertindak keluar parti dan menyertai gabungan Muafakat Nasional (MN) bagi membentuk kerajaan negeri Perak yang baharu.

Jelas Adun Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, ketika ini ada usaha dari gabungan Umno dan Pas untuk menarik sokongan majoriti Adun.

“Saya tetap setia dengan parti walau apa pun terjadi , saya tidak akan khianat kepercayaan rakyat Perak khususnya pengundi Dun Hulu kinta.

“Ya, mereka (Umno dan Pas) masih berusaha berterusan untuk tubuh kerajaan haram di Perak,” katanya kepada Astro AWANI melalui aplikasi Whatsapp pada Jumaat.

Mohamad Arafat mendakwa gabungan MN sudah mempunyai sokongan 29 kerusi DUN dan masih lagi mencari satu lagi kerusi untuk memperoleh majoriti.

“Saya difahamkan mereka sudah ada 29 (kerusi sokongan) hanya perlukan seorang lagi untuk tubuh kerajaan (negeri) baharu,” tambahnya.

Ditanya mengenai satu kerusi sokongan berkenaan, beliau menyatakan tiada maklumat mengenainya.

“Jika benar 29 (kerusi), seorang lagi saya tak pasti,” jelas beliau lagi.

Muhamad Arafat sebelum ini mendakwa dihubungi seorang pemimpin BN untuk menyertai parti itu dan menyokong pembentukan sebuah kerajaan negeri baru.

Perak mempunyai 59 kerusi Dun dan PH sebelum ini membentuk kerajaan negeri melalui 18 kerusi Dun dari DAP, 6 Adun Amanah, 4 Adun PKR, dan 2 Adun Bersatu.

Manakala, Umno memiliki 25 kerusi Dun, Pas 3 kerusi Dun dan kini membentuk gabungan Muafakat Nasional (MN).

Manakala, parti bebas mempunyai satu kerusi.

Sehingga kini, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu masih belum mengadakan sidang media untuk menyatakan pendiriannya mengenai kemelut politik di Perak susulan tindakan Bersatu keluar Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, pentadbiran kerajaan negeri ketika ini masih berjalan seperti biasa.