Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa hari ini.

Mohd Shaid ketika mengumumkan perkara itu memberitahu, beliau bersama dua pertiga Jawatankuasa Bersatu Bahagian Kuala Selangor serta sebahagian besar 13 cawangan bahagian itu turut mengambil keputusan meninggalkan parti itu.

Katanya, beliau akan melepaskan semua jawatan dalam parti untuk menjadi ADUN bebas.

"Keberangkalian besar kami akan menyertai parti baharu yang bakal ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan mendukung dasar Bersatu seperti mana di awal penubuhannya dulu.

"Sekarang ini (di Dewan Undangan Negeri), kita duduk di blok bebas dan akan menjadi timbang tara iaitu menyokong segala yang baik sama ada (di pihak) kerajaan atau pun pembangkang," katanya pada sidang media di Pejabat Bersatu Bahagian Kuala Selangor di Puncak Bestari, di sini pada Sabtu.



Mohd Shaid berkata, keputusan meninggalkan Bersatu dilakukan bersama jawatankuasa bahagian itu dan ketua cawangan berikutan kemelut yang melanda parti berkenaan selepas penyingkiran Dr Mahathir.

"Kami merasakan perjuangan asal Bersatu tersasar daripada objektif asal penubuhannya iaitu untuk melawan sebuah kerajaan kleptokrasi selain sanggup menjalin kerjasama dengan individu yang ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

"Selain itu, tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi salah satu punca menyebabkan kehilangan mandat rakyat pada PRU14.

"Parti juga tidak mendapatkan pandangan akar umbi mahupun perwakilan sebelum mengadakan kerjasama dengan gabungan baharu kerana rata-rata ahli di bawah tidak dapat menerima keputusan yang dibuat hanya di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu," katanya lagi.

BACA: 'Hak beliau untuk tubuh parti baharu' - Anwar Ibrahim

BACA: 'Kita serahkan kepada rakyat nilai parti baharu' - Annuar Musa


Dalam pada itu, beliau berkata, Bersatu juga sukar membentuk satu gabungan bersama dengan Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN) kerana kesemua parti ditunjangi kaum Melayu.

"Maka kawasan untuk bertanding menjadi rebutan dan berlaku unsur mengkhianati antara satu sama lain," katanya.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan parti baharu akan ditubuhkan atas semangat Melayu dan akan bersifat inklusif dan moderat, berpegang pada janji, ikhlas serta berprinsip.

Dr Mahathir berkata, parti baharu ini akan mendukung dasar Bersatu seperti mana di awal penubuhannya dulu.