Parti Warisan Sabah (Warisan) terus menerima wakil rakyat baharu selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Datuk Anita Baranting dari parti pembangkang, Parti Bersatu Sabah (PBS) bertindak menyertai parti pemerintah itu, pada Rabu.

Anita yang menang atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu itu merupakan wakil rakyat PBS pertama dan ADUN BN kelapan menyertai Warisan.

Sebelum ini, ADUN Balung, Datuk Osman Jamal yang juga menang atas tiket BN pada PRU14 lalu menyertai Warisan selepas mengumumkan keluar daripada PKR baru-baru ini.

Penyertaan Anita ke dalam Warisan membolehkan parti kerajaan dibawah pimpinan Warisan dengan PKR, DAP dan UPKO kini memiliki 47 kerusi termasuk lima ADUN dilantik.

"Pada hari ini saya mengumumkan semua jawatan saya di Parti Bersatu Sabah sebagai exco Pergerakan Wanita Negeri, Timbalan Ketua Bahagian PBS bagi kawasan Tandek atas kerelaan hati sendiri tanpa dipengaruhi oleh siapa-siapa.

"Kami mengambil keputusan menyertai WARISAN atas sebab-sebab satu parti ini adalah parti pemerintah di negeri dan kedua, saya mahu meneruskan khidmat kami untuk membantu kerajaan dalam semua aspek pembangunan di negeri ini secara amnya dan khususnya di kawasan saya agar rakyat dapat menikmati pembangunan secara berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu, pada Rabu.

Hadir sama adalah Ketua Menteri merangkap Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Untuk rekod, ADUN Tandek itu sudah menyertai PBS sejak parti tersebut ditubuhkan pada 34 tahun yang lalu.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, hala tuju untuk membangunkan rakyat di Sabah merupakan keutamaan pihak dan kemasukan Anita ke parti Warisan mampu meningkatkan perkhidmatan kepada semua pihak terutamanya di kawasan Tandek.

"Halatuju kita adalah membangunkan negeri Sabah dan membantu rakyat seikhlas yang mungkin, mana yang kita mampu saya tidak mahu janji apa yang kita tidak boleh bagi seperti bulan dan bintang

"Kalau kita ada kesatuan perpaduan kita,kita tinggalkan polithinking di bawah itu yang penting ada saluran tertentu dia sebagai ahli yang berhormat dan saluran-salurannya kita dapat mantapkan, dan saya akan maklumkan jentera Warisan dan juga UPKO, PKR dan DAP yang berada di Tandek kena bantu Anita selaku rakan untuk menjayakan pembelaan pengundi rakyat di situ," katanya.