Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk Abdul Rahman Kongkawang mengumumkan untuk menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) serta-merta pada hari ini.

Abdul Rahman menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) pagi tadi.

Dengan penyertaan beliau ke dalam parti pemerintah itu sekali gus menyaksikan Warisan kini mempunyai 33 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, kehadiran ADUN baharu ke dalam parti berkenaan sekali gus menunjukkan Parti Warisan sebagai platform tepat untuk memperjuangkan politik negeri.

"Saya amat mengalu-alukan penyertaan beliau kerana saya kenal dan saya tahu beliau mempunyai keupayaan bukan hanya sebagai satu landasan untuk memungkinkan kawasan Labuk akan dapat diberi tumpuan lebih lagi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di PPNS, Kota Kinabalu, pada Jumaat.

Sementara itu, Abdul Rahman dalam sidang media yang sama berkata, beliau telah meletakkan semua jawatannya dalam parti PBS sejak semalam.

Tambahnya, beliau yakin keputusan untuk menyertai Warisan adalah sebagai langkah terbaik bagi kesejahteraan rakyat terutamanya di kawasan Labuk.

"Semua ini bertujuan untuk kawasan DUN Labuk di mana kawasan Labuk mempunyai dua daerah iaitu Telupid dan Beluran yang sememangnya daerah cukup besar.

"Sudah tentu kesejahteraan rakyat untuk dua kawasan ini tidak boleh kita dapatkan jika kita tidak bersama kerajaan," katanya.

Untuk rekod, Abdul Rahman merupakan ADUN kedua menyertai Warisan selepas ADUN Tandek, Datuk Anita Baranting pada 6 Mac lalu.

Atas tiket Barisan Nasional (BN) dan PBS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, beliau meraih majoriti 2,600 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain di DUN Labuk.