Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Shamsuddin Lias hari ini mengumumkan meletakkan jawatan sebagai ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berkuat kuasa serta merta.

Mohd Shamsuddin berkata beliau membuat keputusan itu kerana enggan menerima pelantikannya sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) Selangor seperti yang diluluskan pada persidangan DUN Khamis lepas.

Beliau berkata ini berikutan sikap berat sebelah pentadbiran kerajaan negeri yang meletakkan komposisi anggota jawatankuasa PAC dimonopoli Adun Pakatan Rakyat (PR) dan ia dilihat lebih berunsur muslihat politik.

"Saya meletakkan jawatan ketua pembangkang DUN Selangor serta merta atas pilihan saya sendiri dan atas prinsip integriti. Apa guna saya memegang jawatan itu (Pengerusi PAC) jika hanya sebagai boneka dan ikut telunjuk.

"Jika kerajaan negeri benar-benar ikhlas atas prinsip demokrasi, mereka seharusnya ada 'check and balance' dan bukan hanya meletakkan satu Adun BN berbanding empat Adun PR dalam jawatankuasa tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Shamsuddin berkata kelulusan pindaan peraturan tetap 68(1) DUN Selangor yang mewajibkan ketua pembangkang menjadi Pengerusi PAC menyebabkan beliau terikat dengan peraturan itu dan tiada pilihan selain melepaskan jawatan berkenaan.

Sehubungan itu katanya segala kemudahan pentadbiran yang diberikan termasuk sebuah kereta rasmi bagi kegunaannya sebagai ketua pembangkang telah dipulangkan semula kepada kerajaan negeri pagi ini.

Menurut beliau, surat peletakan jawatannya juga telah diserahkan kepada Pejabat Speaker DUN pagi ini dan diterima Setiausaha Bahagian (Dewan), Pejabat Dewan Negeri Selangor Elya Marini Darmin bagi pihak speaker.

Katanya keputusan peletakan jawatan tersebut telah dimaklumkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan BN Selangor Datuk Seri Noh Omar dan senarai calon baharu ketua pembangkang DUN itu belum dibincangkan buat masa ini.

Dalam pada itu, Mohd Shamsuddin turut mencabar Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali untuk menamatkan khidmat Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah gelaran 'Datuk Seri' yang dikurniakan Sultan Selangor pada tahun 1992 ditarik balik.

"Jika menteri besar (Azmin) hormat dan faham keputusan Sultan Selangor itu, beliau sepatutnya menamatkan khidmat Anwar yang sering mempersoal integriti institusi diraja selain mencetus kemelut politik berpanjangan di negeri ini sehingga fokus isu semasa rakyat terabai," katanya.