Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman hari ini mengumumkan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Saddi berkata, beliau telah mengambil "keputusan sukar" Ogos lalu untuk keluar dari parti UMNO, dan kini beliau berkeputusan untuk menyertai Warisan.

"Ekoran keputusan tinggalkan UMNO, saya telah menyatakan pendirian bahawa akan memberikan sokongan kepada parti berasaskan parti tempatan.

"Dalam tempoh lima bulan sebagai ADUN Bebas, saya telah tertarik dengan visi kewujudan Warisan," katanya dalam sidang media di sebuah hotel di sini, pada Isnin.

Saddi berkata, antara sebab dia menyertai kerana WARISAN adalah untuk memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan turut memperjuangkan hak royalti gas negeri ini yang sama seperti visi beliau.