Agenda Bumiputera baharu yang dinamakan Pelan Kemakmuran Bersama akan dirangka dengan penglibatan semua pihak, ujar Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Antara yang terlibat termasuk badan-badan ekonomi Melayu, dewan-dewan perniagaan semua kaum, pemain industri, ahli-ahli korporat, pakar-pakar ekonomi, badan-badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan serta parti anggota Pakatan Harapan.

"Apabila Agenda Bumiputera baharu yang boleh kita namakan Pelan Kemakmuran Bersama dilaksanakan nanti, kita mahu ia mendapat sokongan semua pihak.

"Justeru, di sini, saya dengan rendah diri memohon agar Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi parti kita yang juga Perdana Menteri, menyokong dan menerima cadangan ini untuk dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.

Muhyiddin berkata demikian semasa menyampaikan ucapan presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Ahad.

Tegas beliau, Agenda Bumiputera baharu ini bukan agenda kaum semata-mata, namun ia merupakan satu agenda nasional.

"Prasyarat utama dasar ini ialah ia mesti mewujudkan kemakmuran negara yang dapat dikongsi secara adil dan saksama oleh semua rakyat tanpa mengira kaum, kelas dan wilayah.

"Yang ingin kita wujudkan ialah keadilan dan kesaksaman dalam pendapatan dan pemilikan kekayaan di kalangan rakyat.

"Tidak ada satu kumpulan pun dalam masyarakat kita yang ketinggalan. Dengan itu, kita dapat mewujudkan kestabilan, kesepaduan dan kemakmuran dalam negara kita yang dikecapi oleh semua rakyat," tambahnya.

Ia akan menumpukan kepada usaha yang berterusan dan bersungguh-sungguh untuk meningkatkan pencapaian ekonomi Melayu dan Bumiputera.

"Ini termasuk peningkatan pendapatan isi rumah, kemajuan dalam bidang kerjaya dan keusahawanan, serta kenaikan dalam kadar gaji, nilai simpanan dan pemilikan aset," kata Muhyiddin.

Dalam semangat Malaysia Baharu, katanya, semua pihak perlu mengiktiraf penglibatan semua kaum dalam pelbagai sektor ekonomi secara adil dan saksama bagi mengekalkan kemakmuran bersama.

"Kita mahu orang Melayu maju dan semua kaum lain juga maju. Kita tidak akan merampas apa-apa hak daripada kaum lain untuk kita berjaya," ujar beliau.

Katanya lagi, perubahan sikap orang Melayu dan Bumiputera akan menjadi komponen penting Agenda Bumiputera yang akan kita laksanakan.

"Tanpa perubahan sikap, apa sahaja dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak akan dapat membantu orang Melayu dan Bumiputera untuk maju.

"Kita mesti terapkan nilai-nilai amanah, rajin, berdisiplin, berani, cekap dan semua nilai murni dalam kehidupan orang Melayu. Barulah bangsa Melayu boleh menjadi bangsa yang berjaya," ujarnya.