Pentas Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan digunakan sebaiknya bagi mengukuhkan parti itu.

Pada masa sama, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan mesyuarat tahunan itu akan memberi tumpuan kepada usaha memastikan Bersatu memainkan peranan penting dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kita akan mengambil peluang dalam mesyuarat ini untuk membincangkan perkara-perkara melibatkan politik dalam parti kita.

"Kita perlu ke hadapan dalam mengukuhkan parti dan memastikan peranan kita dalam kerajaan Pakatan Harapan dalam ekonomi, pendidikan, keharmonian, isu kaum dan agama dalam usaha menyatupadukan masyarakat di Malaysia.”


Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat.

Mengulas lanjut, katanya, antara pemimpin Pakatan Harapan yang akan hadir pada perhimpunan agung ini ialah Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Justeru beliau berharap Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu akan berjalan lancar dan mencapai matlamat parti.

Perhimpunan agung tahunan selama tiga hari ini menghimpunkan 1,600 perwakilan daripada 135 bahagian.