Kaedah pemberian bantuan oleh ahli politik tidak memberikan kesan langsung kepada sokongan ke atas mereka oleh pengundi.

Sebaliknya, dalam landskap Malaysia Baharu, politik yang berasaskan ketelusan dan kecekapan harus diutamakan oleh para politikus.

Demikian penegasan Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor yang menggesa setiap ahli politik menjadikan kedudukan mereka sebagai wadah untuk tambah baik kedudukan masyarakat biarpun di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam masa sama, Dr Muhamad Nadzri juga menegaskan, ahli politik bukan Santa Claus yang menjadi tempat orang ramai meminta-minta.

"Ahli politik bukanlah Santa Claus yang jadi tempat untuk orang meminta-minta dan ahli politik memberi.

"Tidak dinafikan, kita dalam fasa peralihan, jadi ada pertembungan dalam politik baru dengan amalan politik lama," katanya kepada Astro AWANI.

Santa Claus seperti yang diketahui ramai digambarkan sebagai seorang lelaki tua berjanggut putih, berbadan gempal dan sangat periang yang muncul setahun sekali iaitu pada sambutan Hari Krismas.

Dengan mengenakan pakaian pakaian serba merah dan kolar berwarna putih, Santa Claus sentiasa menjadi perhatian kerana beg yang dibawanya dipenuhi dengan pelbagai hadiah yang diagihkan pada perayaan berkenaan yang disambut pada 25 Disember setiap tahun.




BACA: ADUN Jeram buat hal lagi!

Mengulas mengenai tindakan Ahli DUN Jeram, Mohd Shaid Rosli yang mengagihkan bantuan beg sekolah terpampang wajahnya, Dr Muhammad Nadzri menyifatkan tindakan itu saling tidak ubah seperti politik penaungan.

"Kalau dalam amalan yang sebegini, memberikan bantuan dengan ingatan maksudnya beliau memberikan sesuatu untuk sesuatu (mengharap balasan).

"Dalam era Malaysia Baharu, kita mahu politik berasaskan ketelusan dan kecekapan bukan lagi beri sesuatu untuk sesuatu. Dengan cara itu, kalau orang suka kita selepas pelbagai usaha dibuat maka orang akan pilihlah kita.

"Jika kita tak boleh buat apa, kita cuba di masa akan datang," jelasnya lagi.

Tambah Dr Muhammad Nadzri, sekiranya amalan politik lama diteruskan, ia tidak membawa impak positif kepada rakyat terutamanya dalam aspek integriti dan juga memperkasakan mereka.

"Sampai bila mereka (rakyat) hendak terus bergantung kepada ahli politik?" soal beliau lagi.

Sementara itu, Mohd Shaid berkata, pemberian beg dan baju sekolah yang dirintisnya itu mungkin usaha pertama sekali dianjurkan di Selangor membabitkan semua murid sekolah rendah di dalam DUN.

"Memang tak dinafikan, sebelum ini, agihan beg yang ada gambar muka saya tular sampai satu negara tahu. Tapi baguslah, mereka dah kenal DUN Jeram.

"Mungkin orang lain 'panas' tapi bagi saya, agihan yang tak pilih-pilih kaum ini ada baiknya dan ibu bapa kebanyakannya berterima kash atas sumbangan ini," katanya mempertahankan tindakannya seperti dilapor portal Sinar Harian, pada Rabu.