Anggota UMNO perlu memainkan peranan memastikan semua orang Melayu termasuk anggota parti sendiri mendaftar sebagai pengundi bagi memastikan Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata sekiranya anggota parti mengadakan gerakan mengajak pengundi Melayu keluar mengundi tidak mustahil BN boleh memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum itu.

Malah beliau berkata langkah itu juga dilihat mampu membantu BN merampas kembali kerusi yang kalah pada pilihan raya umum lepas antaranya kerusi Parlimen Raub yang kini disandang Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz daripada DAP.

"Di Raub kalau orang UMNO boleh menggerakan gerakan menyuruh mereka (orang Melayu) keluar mengundi, tidak ada sebab BN boleh kalah, tidak kira siapa sekalipun calon sama ada UMNO ke, MCA ke. Lagi pula 53 peratus pengundi di Raub ini adalah orang Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan jentera PRU-14 UMNO Bahagian Raub di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Raub Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin.

Sementara itu, Adnan yang juga Menteri Besar Pahang, berkata jentera UMNO di negeri itu sudah bersedia dalam usaha menghadapi PRU-14.

"Macam di bahagian saya (UMNO Bahagian Bentong) menubuhkan jawatankuasa tertentu sahaja mengikut keperluan sebagai contoh jawatankuasa yang mengatur kempen, yang mengatur pengundi luar...kita tidak perlu jawatankuasa banyak, biar sikit tetapi berfungsi," katanya.

-- BERNAMA