PAS mengumumkan Setiausaha Urusan Ulama kawasan Pengkalan Chepa, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada 22 Mac depan.

Pengumuman itu dibuat oleh Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di hadapan kira-kira 500 penyokong parti itu di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, malam ini.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Kelantan yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan merangkap Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Pengarah Bersama Jentera dan Operasi PAS Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan Abdul Aziz Abdul Kadir.

Ahmad Fathan, 42, merupakan timbalan pengetua dan pensyarah di Institut Dakwah Islamiah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kota Baharu.

Beliau berkelulusan Sarjana Syariah dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur selain pernah menuntut dalam jurusan Talaqqi Kitab dan Mustami' di Damaskus, Syria dan Sarjana Muda Syariah di Universiti al-Azhar, Mesir.

Anak jati Kampung Baung, Pengkalan Chepa itu adalah antara tiga calon yang disenarai pendek oleh PAS Kelantan selepas proses pemilihan parti minggu lepas.

Antara nama lain yang disebut-sebut sebagai calon termasuklah peguam syarie Nik Baharom Nik Abdullah yang juga Anggota Jawatankuasa Teknikal Hudud Negeri Kelantan.

Seorang lagi calon yang disenarai pendek oleh PAS Kelantan bagaimanapun tidak didedahkan.

PRK DUN Chempaka diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat pada 12 Feb lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13, Nik Abdul Aziz yang juga bekas menteri besar Kelantan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Wan Razak Wan Abdul Razak dengan 6,500 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Chempaka pada 22 Mac manakala hari penamaan calon pada Selasa ini.