Setelah sembilan tahun dikuasai pembangkang, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu jentera Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Beliau secara tegas mahu jentera setiap parti komponen di kawasan parlimen berkenaan bekerjasama bagi membolehkan kemenangan berpihak kepada BN.

"Sembilan tahun kita di dalam dakapan kesengsaraan, sembilan tahun kita dalam kepanasan, sembilan tahun kita dalam kehujanan, sembilan tahun kita di dalam penderitaan.

"Inilah masanya kita rampas semula kerusi Bandar Tun Razak dan hadiahkannya kepada Barisan Nasional," katanya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilhan Raya BN Bandar Tun Razak di Laman Tun Razak di sini, malam ini.

Turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Bahagian UMNO Bandar Tun Razak Datuk Rizalman Mokhtar, pemimpin komponen BN dan jentera parti.

Menyingkap sejarah penubuhan Bandar Tun Razak, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata kejayaannya dipacu oleh program urbanisasi yang diwujudkan Kerajaan BN bagi membantu penduduk kampung mencari rezeki di kawasan pinggir bandar.

Justeru, beliau mengingatkan masyarakat kawasan itu untuk berterima kasih serta tidak sesekali lupa kemajuan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan selama ini.

"Cuba kita ingat, bila kita pandu kereta di hadapan, ada cermin untuk kita lihat, untuk ke kanan, belok atau terus...cermin itu adalah sejarah penubuhan Bandar Tun Razak dan kawasan sekitar, ia adalah jasa UMNO dan BN.

Cukuplah sembilan tahun, kenangan itu (berada di bawah pembangkang) harus dipadamkan sejarahnya kerana kita mahu membalas budi apa yang dilakukan UMNO dan Barisan Nasional serta Kerajaan Malaysia kepada penduduk Bandar Tun Razak ini", katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mahu jentera MCA dan Gerakan di kawasan itu meraih sokongan pengundi Cina untuk menyokong BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ahmad Zahid berkata kesilapan pada Pilihan Raya Umum ke-12 dan Ke-13 jangan diulangi dan beliau mahukan MCA dan Gerakan berusaha menarik semua pengundi Cina di parlimen ini untuk menyokong BN .

"MCA dan Gerakan tarik semua pengundi Cina untuk sokong BN sebab apa yang kita lakukan untuk orang Cina sama dengan apa yang kita lakukan untuk orang Melayu," katanya sambil turut menyatakan keprihatinan kerajaan kepada kaum India.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM600,000 bagi menaik taraf kawasan Bandar Tun Razak termasuk menaik taraf dewan orang ramai, menukar tangki dan bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Selatan dan infrastruktur pasar Alam Damai.

Selain peruntukan itu, Ahmad Zahid turut mengarahkan Tengku Adnan selaku Menteri Wilayah Persekutuan untuk mengeluarkan surat tawaran kepada pemohon perumahan awam yang layak sebelum hujung April ini.

-- BERNAMA