Teka-teki siapa bakal calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih terjawab apabila Zakaria Hanafi, 58, dinamakan sebagai calon mewakili parti itu.

Dalam satu majlis di Bilik Gerakan BN PRK DUN Semenyih di sini hari ini, nama beliau diumum Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan di hadapan kira-kira 300 penyokong parti itu.

Mengikut profil, Zakaria merupakan seorang aktivis masyarakat yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Pembangunan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Penglibatan beliau dalam politik agak minimum, kerana hanya pernah menjadi Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Kampung Sesapan Kelubi di sini, namun anak tempatan Semenyih itu sangat aktif dalam bidang kemasyarakatan.

Bekas Penolong Pegawai Tadbir UKM itu mempunyai jawatan sebagai Setiausaha JKKK Kampung Sesapan Kelubi, Setiausaha Tabung Khairat Kampung Sesapan Kelubi, selain Ahli Lembaga Pengarah KOPEL Hulu Langat.

Dalam sidang media kemudiannya, Mohamad menjelaskan, pemilihan calon di peringkat DUN berlainan dengan Parlimen, kerana seseorang itu perlu aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

Katanya lagi, terdapat enam nama yang telah diserahkan, dan ada di antara mereka mempunyai kelulusan sehingga peringkat doktor falsafah, tapi Zakaria merupakan calon yang menepati semua kriteria ditetapkan.