Perasaan kecewa tidak sepatutnya mendahului kepentingan parti, sebaliknya UMNO sebagai parti keramat kepada orang Melayu perlu dipertahankan kredibilitinya.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, kita sepatutnya menyayangi UMNO kerana parti itu telah banyak jasanya kepada orang Melayu terutama kepada anak cucu kita dikemudian hari.

"UMNO merupakan elemen terpenting dalam denyut nadi penghidupan orang Melayu sejak mula kita merdeka.

"Pada saya, tidak ada sesiapa pun yang dapat menangkis bahawa parti keramat itu telah memainkan peranannya yang cukup besar dalam usaha memperkasakan budaya bangsa.

"Malah UMNO sehingga kini kekal mendominasi tampuk pemerintahan negara berkat kebijaksanaan serta kesepakatan pemimpin yang dipilih oleh rakyat," katanya dalam catatan terbaharu di laman blognya hari ini.

Tegasnya, UMNO telah mampan kukuh menjadi teras kepada keutuhan gagasan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negara oleh Perdana Menteri yang dipilih berasaskan kepada konsep dan prinsip demokrasi.

"Justeru niat untuk menjatuhkan Perdana Menteri secara membelakangkan prinsip tersebut dilihat sebagai bertentangan dengan asas perlembagaan.

"Sekaligus ianya turut bercanggah dengan majoriti naluri rakyat yang menjunjung semangat demokrasi raja berpelembagaan.

"Oleh sebab itu, amatlah tidak munasabah apabila ada daripada kalangan kita marahkan UMNO kerana dirasuk oleh rasa kecewa yang keterlaluan," jelasnya.

Katanya lagi, tidak sepatutnya perasaan marah dan kecewa itu menjadi pedoman dalam menentukan garis perjuangan sehingga mencerca kepimpinan yang ada.

"Apabila kita tunduk kepada nafsu marah dan kecewa, lazimnya tidak akan membuahkan sebarang keuntungan. "Sebaliknya bertukar kepada tindakan melulu dengan lontaran tohmohan yang lazimnya juga jarang bersifat benar.

"Apa untungnya keluar daripada UMNO setelah sekian lama kita berganding bahu membina keutuhan parti demi perpaduan orang Melayu?" ujarnya.

Ketika mengulas langkah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meninggalkan parti, Syed Ali menjelaskan, ia bukan lagi isu yang luar biasa.

"Mantan Presiden UMNO itu berbuat demikian dengan alasan yang cukup mudah ; tidak bersetuju dengan dasar pentadbiran Najib selaku Perdana Menteri dan presiden parti.

"Saya tidak berniat untuk mengulas untung dan ruginya Dr. Mahathir keluar daripada UMNO, tetapi sekadar meluahkan sedikit kekecewaan. Dr. Mahathir merupaka negarawan dan telah menghabiskan lebih 22 tahun usianya bersama UMNO.

"Tempoh selama itu amat cukup bagi beliau memugarkan segala pengalaman yang ada untuk bersama mempertahankan kekuatan UMNO bersama pemimpin yang ada hari ini," katanya.

Tambahnya, pengalaman Dr Mahathir boleh ditimba untuk dijadikan pedoman yang amat berguna dan bermanfaat kepada generasi baru UMNO. "Jika diukur kepada tempoh itu juga, mana mungkin seorang pemimpin tulen boleh meninggalkan parti dengan begitu mudah.

"Atas semangat kekitaan, kekeluargaan dan kepartian yang dibina selama ini, saya hanya mampu melontarkan pandangan adalah amat perlu untuk Dr. Mahathir kekal bersama UMNO. "Saya yakin dan percaya, Dr. Mahathir masih sayangkan UMNO, sepertimana juga kita semua sayangkan parti itu," jelasnya.

Namun Syed Ali menyedari, barangkali tidak ada usaha untuk memujuk Dr. Mahathir 'rujuk' semula kepada UMNO. "Itu hanya kebarangkalian pada fikiran saya. Mungkin ada yang bertegas kepada bidalan ; 'datang tidak dijemput, pergi tidak dihalang'.

"Tetapi dalam konflik ini amatlah wajar pula kita berpegang kepada peringatan lama ; 'carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum jua'.

"Nawaitu saya ialah kesatuan orang Melayu perlu dipertahankan kekuatan, perpaduan dan iltizam mereka di bawah naungan UMNO," jelasnya. Ujarnya lagi, sejarah telah membuktikan hanya UMNO yang berkeupayaan menjadi peneduh serta pelindung kepada seluruh orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Ketika mengulas mengenai cetusan kegelisahan dalam UMNO seperti yang didakwa banyak pihak, Syed Ali melihat kegelisahan itu sebagai perkara lumrah dalam parti politik.

"Tidak ada parti yang sentiasa tenang dan tidak berombak, ada kalanya bergelora tetapi ke pantainya juga buihnya tetap memutih.

"Maknanya, selaku ahli UMNO, kita sepatutnya akur dengan perubahan yang berlaku bersesuaian dengan putaran masa tetapi matlamatnya tetap setia kepada parti.

"Realitinya, suatu ketika kita berada dipuncak kuasa, dan suatu ketika pula kita hilang kuasa yang digenggam selama ini," katanya.

Oleh itu tegasnya, putaran sedemikian sepatutnya diterima dengan berlapang dada kerana 'hari kita' mungkin sudah berakhir dan perlu diganti oleh pemimpin pelapis.

"Kita sepatutnya berbangga kerana kita telah meninggalkan acuan dan teladan yang baik yang mungkin boleh dicontohi oleh pemimpin akan datang.

"Ingatlah, UMNO tidak akan menjadi punah oleh terjahan pihak lawan tetapi saya amat khuatir parti menjadi rosak binasa kerana angkara perbuatan ahli-ahlinya sendiri.

"Perbuatan seumpama 'gunting dalam lipatan' itu berpunca kerana rasukan rasa kecewa dan sakit hati yang melulu, yang sepatutnya tidak dilakukan oleh mereka yang sayangkan UMNO," katanya.

Syed Ali turut mengingatkan kepada seluruh ahli-ahli UMNO supaya menyayangi parti kita walaupun dalam apa juga situasi.

"Sedarlah, tidak ada orang Melayu selain daripada kita yang sepatutnya menjaga kredibilti UMNO.

"Kita telah dimanahkan untuk menyayangi UMNO kerana parti keramat inilah yang akan menjadi penyuluh jalan kepada orang Melayu dan anak cucu kita di masa akan datang," katanya.