Alasan keruntuhan moral yang diberi Pas dalam membantah penganjuran 'Better Beer Festival 2017' pada 6 dan 7 Oktober ini disifatkan lemah dan tidak boleh diguna pakai

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, Pas juga seolah-olah mahu menyatakan rakyat negara ini mempunyai nilai sivik lemah dengan penganjuran program berkenaan.

"Kita mengucapkan tahniah di atas ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membatalkan festival ini atas sebab-sebab keselamatan.

"Jelas, pesta ini hanya untuk orang bukan Islam dan pembatalannya merupakan langkah tepat bagi melindungi keselamatan orang bukan Islam minoriti. Ancaman militan merupakan bukan perkara main-main.

"Tetapi, jika alasannya untuk mengelakkan kes rogol, ragut, seks bebas iaitu merupakan alasan-alasan yang diguna pakai oleh Pas, saya mempunyai perbezaan pendapat kerana ianya tidak tepat, 'Beer festival' diadakan di banyak negara lain juga termasuk negara Islam. Adakah Pas ingin memberitahu bahawa rakyat Malaysia mempunyai nilai-nilai sivik universal dan moral yang lemah?" soalnya.

Bastion berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Riduan Mohd Nor yang mempertikaikan jaminan keselamatan kepada orang awam termasuk isu jenayah, seks bebas, rogol dan sebagainya terhadap penganjuran 'Beer festival' itu.

BACA: DBKL tolak permohonan penganjuran 'Better Beer Festival 2017'

BACA:
'Ada militan rancang sabotaj 'Better Beer Festival' - Polis

Dalam pada itu, Bastien turut merujuk situasi di negeri Kelantan di bawah pentadbiran Pas yang sekian lama mempunyai undang-undang syariah (hudud).

"Negerinya itu mempunyai bilangan kes HIV paling ramai, mencatat kes dadah tertinggi dan juga sering terdapat kes seks luar tabii. Adakah ini nilai-nilai Islam sebenar? Ianya ternyata hanya bersikap kosmetik.

"Kamu boleh bandingkan dengan negeri Johor iaitu negeri yang baru-baru ini melarang kedai dobi 'untuk Muslim sahaja'.

"Johor mencerminkan kemajuan yang lebih menyeluruh. Johor juga mempunyai sistem pendidikan agama Islam secara formal. Pendidikan kami meliputi dua sesi iaitu akademik dan agama," jelasnya.

Katanya lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah membuka pintu kepada kaum-kaum lain dengan seluas-luasnya melalui 1Malaysia namun realitinya ia tidak diterima baik oleh kaum Cina.

"Saya khuatir sekiranya kaum Cina berterusan tidak menyokong BN, pengaruh Pas akan mulai dirasai dan menebal dalam mempengaruhi lanskap pentadbiran dan hala tuju Malaysia secara keseluruhan. Ini pastinya bukan perkara yang ideal untuk Malaysia yang majmuk.

"Oleh yang demikian saya ingin mengajak kaum Cina untuk kembali menyokong BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) membina Malaysia yang makmur dan maju," ujarnya.

Sebelum ini, DBKL menolak permohonan penganjuran 'Better Beer Festival 2017' daripada pihak penganjur untuk menjalankan aktiviti tersebut di Solaris Damansara dari pukul 2 petang hingga 11 malam Oktober ini.

Penganjuran pesta itu dibantah keras oleh Pas yang turut menggesa para mufti segera mengeluarkan fatwa dan pandangan khusus berhubung penganjuran aktiviti seumpama itu sebagai panduan dan arahan kepada kerajaan.