Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam dikatakan akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini.

Menurut sumber, ia akan menambah bilangan bekas ketua menteri negeri itu yang keluar UMNO selepas Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Datuk Seri Adib Adam sebelum ini.

"Ali Rustam keluar UMNO mungkin petang ini. Isu ini sudah hangat di beberapa kumpulan sistem pesanan WhatsApp.

"Setakat ini yang diketahui hanya Ali Rustam, belum ada cerita pula mengenai status Datuk Seri Idris Haron," kata sumber berkenaan kepada Astro AWANI, pada Jumaat.

BACA: Bersatu tubuh jawatankuasa tapis permohonan bekas pemimpin UMNO

BACA:
"Saya benar-benar sedih tinggalkan UMNO, tetapi.. " - Rahim Thamby Chik

Untuk rekod, Ali juga merupakan Bekas Naib Presiden UMNO.

Pada Jumaat lepas, Rahim mengumumkan menyertai Bersatu bersama lebih 100 ahli baharu.

Rahim yang pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden UMNO menyerahkan borang keahlian kepada Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusuf yang juga Ahli Pimpinan Tertinggi Bersatu dalam satu majlis di Ayer Keroh.

Beliau turut mengumumkan gerakan ‘Hijrah Politik’ bertujuan untuk menjelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan kepada rakyat mengenai perkembangan isu semasa yang berlaku di negara ini.

Sebelum ini, Rahim turut dilaporkan mahu bertemu dengan Mohd Ali dan Idris bagi memberi penjelasan mengenai hala tuju Bersatu.

Sementara itu, sebuah portal sebelum ini melaporkan, Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang mengesahkan kekal setia kepada UMNO dan tidak akan bertindak keluar parti.