Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa UMNO yang kini menerajui kerajaan Johor supaya memohon Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu dibubarkan terlebih dahulu.

Menurut Salahuddin, UMNO dan Bersatu yang kini bergabung membentuk kerajaan tidak perlu berlengah dan boleh memohon agar DUN Johor dibubarkan pada bila-bila masa.

"Semakin ramai pemimpin UMNO yang menggesa Muhyiddin membubarkan Parlimen...Oleh kerana mereka begitu ghairah untuk PRU diadakan, saya ingin mencabar mereka memulakan langkah itu di Johor.

"Mereka menyebut tentang ketidakstabilan situasi politik negara sebagai alasan mengadakan PRU, maka langkah ini harus bermula di Johor ekoran kemelut politik di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Ketika ini Perikatan Nasional (PN) mempunyai 29 kerusi DUN di Johor, berbanding 27 dari Pakatan Harapan dan timbul cakap-cakap bahawa terdapat ADUN dari Bersatu yang ingin kembali bersama PH.

Sekiranya terdapat ADUN Bersatu yang mengumumkan kembali menyokong PH, kerajaan Johor sekali lagi akan bertukar pemerintah.

Pada 3 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran akan membubarkan DUN Johor sekiranya perebutan kuasa berterusan.

Pada Khamis, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan menggesa Muhyiddin mengikut jejak Singapura dengan membubarkan Parlimen, atas dasar mengembalikan kestabilan politik negara.

Mohamad berkata, Malaysia tidak pernah berada dalam kedudukan politik yang sangat tidak stabil seperti hari ini sejak negara mencapai kemerdekaan, dan pilihan raya dapat memastikan kerajaan yang memerintah mempunyai mandat yang baik dan diyakini.