Amanah dan DAP menggesa semua parti di dalam Pakatan Harapan (PH) mencari titik persamaan untuk menuntut kembali hak rakyat yang diberikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan bersama berkata ia adalah perjuangan suci untuk mendaulatkan demokrasi serta nilai undi jutaan rakyat Malaysia yang memilih untuk menukar kerajaan sebelum ini.

Kata mereka, gesaan itu termasuk kepada kesemua parti dalam PH, Warisan dan kelompok Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kami ingin memberi kenyataan respon kepada PKR yang sebelum ini telah mengumumkan menolak pilihan kedua untuk mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri dengan peralihan kuasa kepada Anwar selepas tempoh enam bulan.

"Ini berikutan Warisan dan Dr Mahathir menolak pilihan pertama untuk mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai timbalan perdana menteri.

"Kedua-dua pilihan ini dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden pada 30 Mei 2020.

"Kami konsisten menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri Malaysia sejak 1998 dan akan terus berbuat demikian," jelas mereka.

Jelas mereka, satu-satunya pilihan yang realistik untuk berjaya adalah dengan menggabungkan kekuatan kesemua lima parti iaitu PKR, Amanah dan DAP daripada Pakatan Harapan serta Warisan dan kelompok penyokong Dr Mahathir dalam Bersatu.

"Perjalanan politik ini telah mengambil masa 22 tahun, justeru kita mampu menunggu enam bulan lagi untuk melihat Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10.

"Peralihan enam bulan ini akan didokumenkan secara bertulis, ditandatangani kesemua pemimpin parti dan diumumkan secara terbuka," kata mereka.

Jelas mereka lagi, DAP dan Amanah telah berusaha keras sepanjang tiga bulan lalu untuk mencari titik persamaan yang dapat diterima semua pihak.

"Malangnya, usaha itu belum berjaya. Kami berharap PKR dan Dr Mahathir bersama-sama Warisan tidak akan semakin menjauh bahkan terus merapat dan bersatu-padu.

"Melihat masing-masing sebagai musuh dan bukan rakan sekutu tidak akan membantu perjuangan rakyat bahkan hanya membantu mereka yang telah menumbangkan sebuah kerajaan sah yang dipilih rakyat, dengan sebuah kerajaan tanpa mandat rakyat.

"Hanya apabila kita dapat bersetuju, kita akan sama-sama dapat memastikan Pakatan Harapan dapat menuntut semula kerajaan milik rakyat ini," ujar mereka.

Seperkara lagi kata mereka, tidak patut ada sebarang urusan dengan watak-watak utama (bekas pemimpin PH) yang bertanggungjawab menumbangkan kerajaan sah PH dan membolehkan kerajaan PN tanpa mandat ini berkuasa.

Tegas mereka, pengundi PH tidak akan mengampunkan mereka yang telah mengkhianati amanah yang telah diberikan.

"Kami memberi penghormatan kepada pemimpin PH, Warisan dan Bersatu yang telah berani berdepan ugutan dan godaan bagi menolak kerajaan PN yang tiada mandat ini.

"Kesemua parti-parti politik dan orang ramai menyokong serta bersetiakawan dengan Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal bagi mengekang anasir-anasir pengkhianat daripada cuba menumbangkan kerajaan yang telah dilantik melalui pilihan raya," katanya.

Sebagai anggota PH, mereka menjelaskan akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat dan jutaan yang telah mengundi untuk perubahan.

Mereka juga mahu menjadi pembela rakyat demi memastikan dana kerajaan digunakan untuk membantu mereka, dan tidak tertiris akibat salah urus-tadbir terutama semasa krisis COVID-19 yang membawa kesan dahsyat kepada ekonomi.

"Keperluan melanjutkan moratorium pinjaman bank selama enam bulan lagi serta kemarahan orang ramai terhadap kenaikan bil elektrik oleh Tenaga Nasional Bhd adalah gejala kegagalan kerajaan PN dalam menangani kesengsaraan rakyat akibat krisis ekonomi COVID-19.

"Kami juga akan turut menggerakkan jentera parti untuk bersiap sedia berdepan kemungkinan pilihan raya mengejut, dan bekerjasama dengan semua parti politik yang menolak kerajaan PN," kata mereka.