Tutup

Amanah nafi Ahli Parlimen Temerloh kritikal

Amanah nafi Ahli Parlimen Temerloh kritikal
Amanah menafikan khabar angin mengatakan Mohd Anuar kritikal selepas diserang strok. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) menafikan khabar angin mengatakan Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir berada dalam keadaan kritikal selepas diserang strok sejak sebulan lalu.

Timbalan Setiausaha Agung Amanah, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berkata perkembangan kesihatan Mohd Anuar yang juga timbalan menteri kerja raya itu amat positif dan stabil selain boleh berkomunikasi dengan baik.
Menurutnya, Mohd Anuar menunjukkan tindak balas memberangsangkan sepanjang tempoh menerima rawatan dan tahap kesihatan memuaskan.

"Amanah menafikan khabar angin tersebut. Doktor yang merawat beliau turut mengesahkan tiada pembedahan yang akan dijalankan ke atas beliau sebagaimana berita yang tular di media sosial.
"Untuk makluman lanjut, Mohd Anuar yang juga Setiausaha Agung Amanah mula menjalani rawatan fisioterapi pada awal minggu ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abang Ahmad Kerdee berkata, pihaknya berharap orang ramai dapat mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Mohd Anuar.

Mohd Anuar dimasukkan ke unit Neuro HWD (Neuro High Dependency Ward) Institut Kaji Saraf Tun Abdul Rahman Hospital Kuala Lumpur sejak bulan lalu akibat strok.