Amanah tak calonkan saya? Tak apa, tak sedih, malah bersyukur

Amanah tak calonkan saya? Tak apa, tak sedih, malah bersyukur
MAHFUZ: sejak awal lagi fokus saya adalah untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan dan bukan untuk menjadi calon pada PRU14. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: "Saya tidak bersedih, malah bersyukur diringankan beban," itu pengakuan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar apabila mendengar desas-desus kononnya dia tidak akan dicalonkan oleh Pakatan Harapan untuk mengekalkan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Jelasnya, wajar buat kepimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) di peringkat bahagian untuk menolak beliau serta memilih calon dari kalangan ahli parti.

Tegasnya, sejak awal lagi fokus beliau adalah untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan dan bukan untuk menjadi calon pada PRU14.
"Saya sudah beri tahu sejak awal lagi bahawa keutaamaan saya bukan untuk menjadi calon dan bertanding pada PRU4.

"Saya sudah nyatakan awal lagi saya akan bantu siapa sahaja calon dari Pakatan Harapan untuk pastikan kemenangan.

"Saya percaya parti dari Pakatan Harapan yang diberikan kerusi Parlimen Pokok Sena (Amanah) sudah pun memilih calon.

"Adalah wajar bagi sesebuah parti yang mendapat kerusi tersebut untuk memilih calon dari kalangan ahli parti mereka sendiri," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Sebuah media arus perdana memetik maklumat sumber melaporkan kepimpinan Amanah bahagian Pokok Sena telah sebulat suara menolak Mahfuz sebagai calon Pakatan Harapan di Parlimen itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pilihanraya Amanah Nasional, Dr Mohd Hatta Ramli yang enggan mengulas lanjut hanya memaklumkan beliau tidak tahu berkenaan keputusan itu.