Parti Amanah Negara (Amanah) tidak perlu mendabik dada dengan mendakwa mendapat sokongan pada dua pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar kerana undi yang dizahirkan itu bukannya untuk Amanah sebaliknya dizahirkan dari pengundi Cina untuk DAP.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berdasarkan pemerhatiannya ke atas penjumlahan di peti undi, Amanah mendapat undi dari kaum Cina, dan Amanah gagal mendapat undi dari kaum Melayu.

Ini bermakna, sokongan undi yang diperolehi Amanah bukannya di atas parti Amanah sebaliknya diperolehi dari penyokong DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Satu perkara yang menggembirakan juga adalah kegagalan Amanah untuk berperanan sebagai parti ganti kepada PAS walaupun undi besar tapi saya percaya 90 peratus undi itu datang dari DAP dan PKR, bukan undi sebenar Amanah.

“Kalau mereka bertanding bersendirian macam PAS, berkemungkinan besar hilang deposit sebab saya tengok jumlah undi diperoleh Amanah datang dari undi kaum Cina. Undi kaum Cina terbahagi antara BN dan Amanah, tapi di kawasan Melayu undi Amanah rendah,” ujarnya.

Justeru, PAS merasakan Amanah bukanlah sebuah parti yang boleh menggugat PAS pada pilihan raya umum akan datang kerana semasa PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar undi Melayu terhadap PAS tidak berubah dan pengundi dilihat tidak beralih untuk memberi undi kepada Amanah.

Walaupun sebelum ini ramai pihak mengatakan PAS akan terjejas dengan kemunculan Amanah, namun pada dua PRK berkenaan, ia menjelaskan bahawa kewujudan Amanah tidak menggugat PAS dengan penzahiran undi yang masih memihak kepada PAS.

Mohd Amar juga menjelaskan PAS belum memuktamadkan agenda perbincangan dan post mortem selepas PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar sama ada turut menyentuh mengenai kedudukan PKR yang secara jelas menyokong calon Amanah di dua pilihan raya berkenaan.

PAS katanya perlu melengkapkan diri, bersiap sedia dan mencari jalan bagaimana untuk menarik kembali sokongan pengundi Cina dan meningkatkan kembali sokongan pengundi Melayu.

BN menang besar di kedua-dua kawasan Parlimen itu dengan calonnya Datin Mastura Mohd Yazid memperoleh majoriti 6,969 undi pada pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar manakala Budiman Mohd Zohdi meraih majoriti 9,191 undi bagi PRK Sungai Besar.