Anggota UMNO perlu mengambil iktibar daripada kejatuhan UMNO di Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dalam usaha mengukuhkan parti itu dalam menghadapi cabaran masa kini, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menteri Pendidikan itu berkata selain tsunami politik yang melanda negara pada 2008, kejatuhan UMNO di Kedah pada masa itu adalah disebabkan perpecahan dalaman parti di negeri itu.

"Ada (anggota UMNO di Kedah) pada masa itu sanggup kata kalau kalah padan muka, tengok kalah betul. Selepas kalah ramai yang terkejut, ramai juga yang menyesal, kecewa sampai dua tahun mesyuarat tidak ramai datang.

Daripada itu kita bangkit, bangun kuatkan UMNO Kedah sampai menang pada pilihan raya lepas. Hanya jika kita kuat akan kita jadi kerajaan, kalau kita lemah siapa akan jadi kerajaan ?," katanya di Batu Anam di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Segamat di sini yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang juga Presiden MIC dan Anggota Parlimen Segamat.

Mahdzir menyeru anggota UMNO seluruh negara supaya tidak membiarkan parti itu menerima nasib yang sama seperti yang berlaku di Kedah dengan menyelasaikan segala pertelingkahan dalaman dengan baik dan bersatu di bawah satu payung.

"Jangan sesekali khianati parti, jangan berpecah jadi puak-puak kecil sehinggakan kita hilang kuasa untuk membantu rakyat. Ini telah berlaku di Kedah yang akhirnya kita tidak punya apa-apa, ketika itu menyesal sudah tidak berguna," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata anggota UMNO perlu memberi keyakinan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mentadbir parti dengan baik dan tidak sekali-kali mempercayai fitnah terhadap perdana menteri itu.

"Pihak sebelah sana tidak akan berhenti lakukan serangan, mereka akan lakukan serangan secara berterusan terutamanya kepada perdana menteri (Najib) untuk melemahkan kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin UMNO bersama parti komponennya, kita anggota UMNO perlu pertahankannya," katanya.