Nama Angkatan Muda Keadilan (AMK) digunakan tanpa perbincangan sebagai penganjur sebuah program berbuka puasa seperti sebuah pesta yang diadakan baru-baru ini.

Naib Ketua AMK, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, ia sebaliknya dianjurkan Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham tanpa mendapatkan persetujuan sesama pimpinan di dalam mesyuarat.

"Saya meneliti teguran Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan ketelanjuran adab sebuah majlis berbuka puasa yang dikatakan anjuran AMK.

"Saya juga mengikuti rapat kerisauan teman-teman anggota AMK yang menzahirkan kebimbangan mereka tentang budaya ketelanjuran adab berorganisasi.

"Saya berasa sedikit lega kerana setelah melakukan semakan dengan Majlis Pimpinan AMK dan semua ketua-ketua AMK negeri, maka program yang dimaksudkan melampaui adab tersebut bukanlah anjuran AMK," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

BACA: 'Iftar Perdana AMK tidak terpesong daripada Islam'

BACA:
Anwar mohon maaf program berbuka puasa seperti pesta

Sebelum ini, Anwar dilaporkan memohon maaf berhubung tindakan Pemuda parti itu yang mengadakan program berbuka puasa seperti sebuah pesta.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima bantahan daripada pihak tertentu yang mengatakan bahawa program tersebut disambut dengan lagu dan bunga api.

Dalam pada itu, Syed Badli menyambut baik kesediaan Hilman untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kekhilafan program tersebut.

"Saya menyeru semua pihak untuk bertenang dan berhenti berbalah justeru meminta agar nama AMK tidak lagi dikaitkan dalam penganjuran program sedemikian.

"Saya juga menggesa semua pihak untuk tidak menyalahgunakan nama baik AMK.

"Sebarang program rasmi AMK haruslah melalui konsultasi Majlis Pimpinan AMK terlebih dahulu untuk mengelakkan sebarang ketidaktentuan di masa hadapan," jelasnya.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR tidak mengenakan sebarang tindakan disiplin terhadap AMK berhubung penganjuran majlis berbuka puasa yang dikatakan seperti pesta.

Tegasnya, pimpinan parti hanya memberi teguran terhadap sayap PKR itu bagi memastikan perkara sama tidak berulang.