Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin memberi gambaran bahawa kerajaan Sabah bakal bertukar tangan dalam tempoh terdekat.

Beliau memberitahu, angin mengenai pertukaran kerajaan semakin kencang sejak kebelakangan ini.

"Kita menyangkakan benda ini akan berlaku, but how soon, kita tak pasti," katanya dalam sidang akhbar di Parlimen di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung desas-desus mengenai perubahan kerajaan negeri yang terbentuk daripada gabungan Parti Warisan Sabah (WARISAN), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun Setiausaha Agung WARISAN, Datuk Loretto Padua sebelum ini menyangkal dakwaan yang kononnya akan ada perubahan kerajaan di Sabah akibat daripada impak perubahan politik di peringkat Persekutuan.


"Mudah-mudahan akan ada berita yang mengejutkan, sebenarnya bukan mengejutkan sangat, ia memang dijangkakan akan berlaku," katanya, sambil menambah agar perubahan itu berlaku dalam tempoh terdekat.

Awal Julai lalu, dua ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dari UPKO, Datuk Limus Jury dan Datuk James Ratib bertindak meninggalkan parti berkenaan serta menjadi wakil rakyat bebas selepas hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti yang diketuai Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Bagaimanapun, Madius menjelaskan, tindakan keluar dua ADUN itu sama sekali tidak menjejaskan tampuk pentadbiran kerajaan Sabah yang ditadbir Warisan, DAP, PKR dan UPKO.