Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim diramal akan dilantik sebagai Perdana Menteri, ujar Felo Penyelidik Institut kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Nidzam Sulaiman.

Bagaimanapun, jelas Nidzam, perkara itu bukan berlaku sekarang sebaliknya mungkin akan berlaku hanya dalam tempoh dua tahun lagi.

“Dia (Anwar) kalau keluar nanti akan jadi Perdana Menteri tetapi bukan sekarang. Mungkin dua tahun lagi, apabila Tun Mahathir nak rehat dan letak jawatan.

“Setakat ini saya lihat memang tidak ada (calon PM lain), memang tak nampak. Anwar calon terbaik walaupun untuk Anwar capai ke tahap Tun Mahathir itu belum lagi. Banyak lagi beliau (Anwar) kena buat,” katanya pada Seminar Pasca-Pilihan Raya Umum ke-14 bagi sesi perbincangan 1 “Dari Kuku Besi Kepada Jaguh Demokrasi” anjuran Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Shah Alam di sini hari ini.

Anwar, 70 tahun ketika ini sedang menjalani rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras di ibu negara dan dijangka akan dibebaskan daripada hukuman penjara pada Rabu selepas mendapat pengampunan Lembaga Pengampunan diRaja dalam masa terdekat ini.

BACA: Pembebasan Anwar mungkin 'sedikit lewat' kerana prosedur - Tun Mahathir

BACA: Berilah masa untuk Anwar berehat sebelum kembali aktif - Dr Wan Azizah

Dalam pada itu, menyentuh mengenai kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 beliau berkata, parti itu mampu bangkit semula tetapi akan mengambil masa yang agak panjang.


“UMNO memang sudah jadi bubur tetapi jangan tengok bawah (pandang ringan) kerana akan sampai masa nanti UMNO akan bangun balik tetapi bukan dalam tempoh terdekat ini.

“Pakatan Harapan pun generasinya sudah berubah. Datuk, nenek, mak kuat UMNO, anak tidak. Kita perlu ingat generasi seperti (orang muda) kita hari ini akan sama juga,” ujarnya.