Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan bahawa beliau dinamakan sebagai Ketua Pembangkang baharu oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Presiden PKR itu mendedahkan perkara tersebut menerusi siaran langsung di Facebook rasmi beliau pada Khamis, selain menyatakan nama beliau sudah dimaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

“Ya, Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah pun maklumkan kepada speaker mengenai keputusan Majlis Presiden yang juga sudah dimaklumkan kepada semua parti pembangkang yang berpihak kepada pembangkang serta Warisan.

“Saudara Anwar sudah disebut sebagai Ketua Pembangkang yang baharu sekali lagi" demikian kata Ahli Parlimen Port Dickson itu, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya oleh seorang pengguna Facebbok sama ada pembangkang sudah memuktamadkan calon Ketua Pembangkang dan ia sudah dimaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat atau sebaliknya.

BACA: "Buat masa ini, saya mengetuai pembangkang" - Anwar

Sebelum ini, Anwar menerusi temu bual dalam program Consider This memaklumkan bahawa beliau menduduki posisi Ketua Pembangkang selepas parti komponen PH sebulat suara memilihnya.

“Bagi PH, ia masih sama, sayalah ketua. Namun, kami akan terus bekerjasama dengan pemimpin dari parti pembangkang yang lain," katanya dalam program terbitan Astro AWANI pada 21 April lalu.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan beliau akan duduk di blok pembangkang ketika sesi Parlimen kali ini.