Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meminta pemimpin PKR supaya tidak mengikut agenda bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebaliknya menumpukan kepada agenda rakyat.

Beliau berkata isu berkaitan kenaikan harga barang, kebajikan dan kontroversi berhubung Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) perlu diberikan perhatian dan menjadi agenda utama.

"Kekalkan kerjasama tidak timbul perkara itu. Kita kata jangan lupa agenda, bukan ikut agenda dia (Mahathir) tetapi ikut agenda rakyat.

"Harga barang macam mana, kebajikan macam mana dan IPP (Pengeluar Tenaga Bebas) macam mana, jangan ikut sistem kroni dan rasuah serta kezaliman lalu. Itu mesej saya," katanya ketika ditanya pemberita berhubung kerjasama PKR dengan Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas keputusan permohonannya di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini ditolak untuk memasukkan keterangan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Ramli Yusuff dalam semakan pensabitan kes liwatnya, atas alasan keterangan itu tidak relevan dan tidak signifikan.

Anwar turut mengesahkan penyebaran sepucuk surat baru-baru ini ditulisnya sendiri ketika berada di mahkamah.

Katanya tujuan surat itu ditulis pada peringkat awal hanya untuk rujukan kepimpinan dalam parti PKR bagi mengingatkan mereka supaya tidak menyimpang daripada perjuangan asal.

"Memang surat saya, tetapi untuk pimpinan, itu pun ditulis semasa di mahkamah. Walaupun peringkat awal tujuannya ialah untuk pimpinan (tetapi) bila tersebar saya minta orang baca," katanya ketika ditanya mengenai kesahihan surat yang tersebar itu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed sebelum ini berkata, tindakan tegas boleh diambil terhadap individu yang membawa keluar surat bekas ketua pembangkang itu dari penjara kerana ia merupakan satu kesalahan.

Katanya Akta Penjara 1995 menyatakan seseorang yang menyeludup atau cuba menyeludup barang larangan masuk atau keluar dari penjara sebagai satu kesalahan.