Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang pertimbang beberapa kerusi parlimen yang berpotensi untuk ditandinginya.

Tetapi beliau sahkan tidak akan usik kubu kuatnya iaitu Permatang Pauh.

Kata Anwar, Permatang Pauh adalah cinta abadi anaknya, Nurul Izzah yang komited untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat.

"Saya sudah ambil keputusan sebab saya lihat Nurul Izzah sangat tekun dan dia sudah kasih jadi saya tidak mahu rampas kekasih dia (Permatang Pauh).

"Jadi saya sudah fikir dalam dua tiga minggu ini saya akan umum kerana saya harus hadiri parlimen juga.

"Biar saya jaga parlimen, biar Tun Dr Mahathir jaga negara dan bila tiba masanya nanti saya akan beritahu orang di Permatang Pauh bila saya ingin ambil alih," katanya.

Buat ketika ini beberapa kerusi sudah disenaraikan pendek namun Anwar enggan dedahkan kerusi parlimen tersebut.

"Saya sudah berbincang dengan kawan-kawan, ada beberapa pilihan terakhir.

"Saya akan beritahu dalam masa yang singkat ini. Belum muktamad lagi tapi dalam masa singkat supaya jadi dari 10, jadi lapan, jadi enam dan akhir sekali tiga sahaja tinggal," katanya.

Anwar beri bayangan sebelum ini akan buat penampilan semula di parlimen Oktober ini.

Beliau terdahulu menyampaikan Tazkirah Perdana pada Majlis Pelancaran Mahrajan Kafa Interaktif 2018 & Kenduri Rakyat di perkarangan Masjid Jamek Kubang Ulu, di sini pada Sabtu malam.