Kira-kira 30 peratus daripada 52,650 pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia adalah terdiri daripada anak muda.

Namun, apa anak muda mahu di DUN Seri Setia?

Dengan kepadatan penduduk di DUN itu, pastinya isu kemudahan sukan dan rekreasi adalah antara yang dimahukan mereka.

Bagi mengatasi masalah sosial terutamanya di kawasan perumahan rakyat, kemudahan seumpamanya perlu diberi perhatian, sama ada ditambah atau diperbaiki.

Seorang pemuda dari Desa Mentari yang ditemui, Mohd Shahrezza Shahrani, berkata, kebanyakan anak muda di Seri Setia mahu litar lumba ditempatkan di kawasan itu berikutan minat mereka dengan sukan permotoran.

“Apa yang kami minta kalau boleh adakan litar lumba untuk kurangkan gejala mat rempit, jadi tiadalah gejala sosial hingga kita boleh kata Seri Setia ini black area.

“Kita tahu anak muda lebih kepada permotoran selain futsal dan silat. Kalau tak besar pun sekurang-kurangnya litar kecil untuk mereka tunjuk skill mereka,” katanya kepada Astro AWANI.

Pada masa sama, mereka mahu generasi muda diberi peluang untuk berniaga dengan menyediakan saluran yang sepatutnya.

Selain itu, gejala melepak akan dapat diatasi dan sekali gus mengurangkan masalah sosial kalangan anak muda.

Dalam pada itu, seorang lagi anak muda, Siva Chandran berharap akan ada program atau aktiviti bakal diwujudkan untuk anak muda termasuk untuk kaum India.

“Saya harap calon akan tukar mentaliti orang muda India di Seri Setia yang terjerumus dengan masalah sosial dan bawa mereka bersama dengan kaum lain dengan melakukan aktiviti yang berfaedah.

“Saya rasa kena ada kegiatan dan aktiviti yang boleh membawa mereka ke jalan yang betul,” tambahnya.

Selain itu, anak muda perlu dilibatkan dengan aktiviti gotong-royong yang sekali gus mewujudkan kerjasama komuniti dan mengatasi masalah sampah yang kerap berlaku di Seri Setia.

Beliau juga mencadangkan kemudahan yang bakal disediakan untuk orang muda diberi secara percuma bagi menggalakkan penyertaan mereka.

“Orang sini bukan semua anak kaya, ramai miskin. Jadi mereka perlu kawasan rekreasi percuma seperti futsal, gelanggang badminton, bola jaring. Maka mereka tidak akan terjerumus dengan kegiatan negatif,” ujar beliau.

Calon Pakatan Harapan N32 Seri Setia, Halimey Abu Bakar ditemui dalam satu majlis di Petaling Jaya, pada Ahad. - Astro AWANI/Rahimah Abdullah

Sementara itu, Calon Pakatan Harapan di N32 Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, tuntutan anak muda di Seri Setia berkenaan akan disampaikan kepada agensi kerajaan dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

“Lebih-lebih lagi MB Selangor adalah orang muda yang sentiasa memahami isi hati generasi muda.

“Selain itu, kita akan merangka perbincangan bersama Pejabat Exco generasi muda, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kementerian Pendidikan Malaysia, sekolah, masjid, surau dan rumah ibadat bukan Islam,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di Petaling Jaya hari ini.

Beliau juga akan memperkasakan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) bagi memastikan pembangunan komuniti di Selangor.

Jelasnya, enam aspek utama program pembangunan PeBT khususnya di DUN Seri Setia akan digerakkan merangkumi ekonomi, kemasyarakatan, kebudayaan, daya kepimpinan, sukan dan pendidikan.