Masa depan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terletak di tangan Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sayap parti itu merupakan tempat bakal lahirnya pemimpin-pemimpin yang cekal dan hebat pada masa hadapan.

Jelasnya, bilangan anak muda di dalam Bersatu sendiri merupakan petanda baik kepada masa depan sekali gus menunjukkan parti itu sebuah parti yang relevan pada masa kini dan masa hadapan.

"Justeru, perbanyakkan program-program kaderisasi untuk menarik minat anak-anak muda yang berbakat menyertai Bersatu. Sediakan program latihan kepimpinan yang mantap untuk mereka.

"Bukalah ruang yang seluas-luasnya kepada anak-anak muda di luar sana untuk menyertai Bersatu dan menyumbang kepada parti," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat.

Jelasnya, pimpinan Bersatu sentiasa terbuka untuk menerima pandangan daripada Armada dan Srikandi.

"Lebih-lebih lagi saudara dan saudari bakal menerajui parti dan insyaAllah negara pada suatu hari nanti.

"Maka, sewajarnyalah saudara-saudari diberikan peluang untuk mengambil bahagian secara lebih bermakna
dalam mencorakkan masa depan parti dan negara," jelasnya.

Paling penting kata Muhyiddin, adalah usaha memperkukuhkan parti serta mengelakkan sengketa antara ahli parti.

"Jauhi fitnah dan adu domba. Utamakan perpaduan dan semangat setiakawan. Tumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada parti. Barulah bahtera parti kita akan berjaya melayari lautan luas yang tidak bertepi.

"Berilah sokongan padu kepada pemimpin yang amat kita sanjungi, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Bersatu dan Perdana Menteri.

"Berilah ruang seluas-luasnya kepada Tun Mahahir untuk memulihkan negara dan sekali lagi melonjakkan Malaysia ke mercu kejayaan dan kegemilangan di persada dunia," katanya.