KUALA LUMPUR:Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menyarankan agar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti pimpinannya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kembali ke pangkuan UMNO demi mengelakkan usaha penyatuan ummah menjadi retorik.

Asyraf berkata pada hakikatnya dasar, orientasi dan ideologi Bersatu adalah sama dan tiada bezanya dengan UMNO, malah hampir keseluruhan kepimpinan serta ahli Bersatu merupakan bekas ahli UMNO.

"Sejarah membuktikan bahawa beberapa parti serpihan yang terpecah daripada UMNO kembali semula kepada parti terbesar orang Melayu itu.

"Ia merujuk kepada matlamat asas penubuhan setiap parti-parti serpihan itu seperti Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), Parti Negara, Parti Melayu Semangat 46 dan termasuklah parti Bersatu yang hanya bertujuan untuk menjatuhkan UMNO.

"Bezanya, setiap parti tersebut gagal menjatuhkan UMNO kecuali Bersatu yang pernah bersekongkol dengan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam Pakatan Harapan (PH) berjaya mengalahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)," katanya dalam satu rencana yang disiarkan Sinar Harian.

Katanya, secara teknikal dan taktikalnya, UMNO dan Bersatu hakikatnya hanya akan bertumpu kepada dasar serta kolompok ahli, pengundi serta akar umbi yang sama.

Menurut Asyraf, persaingan akan berlaku secara sengit di antara kedua-dua parti pada peringkat akar umbi untuk membina pengaruh, mendapatkan keahlian dan mengekalkan ketahanan parti masing-masing.

Justeru, katanya, lebih baik sekiranya semua yang terlibat ke pangkuan UMNO dan memperkasakan parti keramat orang Melayu itu dengan penuh rasa insaf dan kesedaran tentang survival orang Melayu serta umat Islam seluruhnya.