Badan penyelidik Ilham Centre meramalkan Barisan Nasional (BN) akan meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang akan diadakan pada Sabtu.

Antara faktor yang membantu BN mengekalkan kerusi Cameron Highlands ialah aura bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang turun padang membantu kempen PRK kali ini.

Tinjauan Ilham Centre yang dilakukan pada 22 hingga 24 Jan juga menggariskan kempen PAS secara agresif bakal membantu kemenangan calon BN, Ramli Mohd Nor.

“Selaku mantan perdana menteri dan anak jati Pahang, ternyata aura Najib Razak masih dirasai oleh penduduk setempat dan kes-kes pendakwaannya di mahkamah tidak memberi kesan negatif di lokaliti ini.

“Namun BN juga berhadapan risiko dengan penglibatan Najib dalam kempen ini. Sebagaimana kajian pra dan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lepas mendapati Najib adalah faktor rakyat menolak BN.

“Penglibatan beliau kali ini mencetus kembali kebencian dan penolakan pengundi kelas pertengahan terhadap BN. Ini boleh jadi senjata makan tuan (backfire) yang tidak disedari oleh BN sekali lagi, khususnya daripada pengundi senyap (silent voters). Namun jumlah ini adalah kecil dan tidak memberi impak,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Azlan Zainal.

Azlan juga berkata selain Aura Najib dan faktor kempen agresif PAS, Pakatan Harapan juga bakal berdepan kekalahan atas faktor kekecewaan pengundi Melayu terhadap isu kedudukan hak mereka dan agama Islam.

Selain itu, Azlan turut meletakkan isu setempat seperti kejatuhan merudum harga komoditi sawit sejak PH memerintah akan menjadi faktor membantu BN memperoleh kemenangan.

“Ramli Mohd Nor, calon BN kelihatannya mendapat tempat di sisi orang Melayu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai manakala calon PH, M Manogaran pula mempunyai tapak sokongan orang bukan Melayu di DUN Tanah Rata, meninggalkan dua calon bebas lain,” katanya.

Bagaimanapun, Azlan mengakui kehadiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat dijangka dapat menambah momentum kepada kempen PH, khususnya kepada pengundi veteran Umno.

Tinjauan Ilham Centre dilakukan secara tatap muka terhadap 402 responden di P078 Cameron Highlands meliputi semua segmentasi kaum, jantina dan umur pengundi serta lokaliti.

Kaedah tinjauan yang diguna pakai ialah persampelan rawak berstrata, dengan ralat kajian pada 2.03 peratus.

Selain Ramli dan Manogaran, dua calon bebas bagi PRK Cameron Highlands ialah bekas pensyarah Institut Aminuddin Baki Sallehudin Ab Talib dan petani Wong Seng Yee.