Pensyarah Universiti Selangor (Unisel), Dr Abdul Aziz Bari akan dipanggil untuk disoal siasat mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948, lapor The Malaysian Insider.

Pegawai polis yang tidak dinyatakan namanya itu memberitahu The Malaysian Insider, Dr Abdul Aziz hanya akan disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Sabak Bernam.

"Beliau belum ditahan, tetapi akan datang untuk sesi soal siasat esok (Rabu) di balai polis," pegawai polis itu dipetik sebagai berkata oleh The Malaysian Insider.

Pegawai polis itu juga dilaporkan sebagai berkata, lebih 100 laporan polis dibuat terhadap Dr Abdul Aziz di seluruh negara kerana dikatakan menghina Sultan Selangor.

Laporan polis itu dibuat berdasarkan berita bertajuk Sultan Selangor terikat Deklarasi 1992, perlu lantik Wan Azizah, kata Aziz Bari dan Only God, not Sultan, has absolute powers.

Dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider yang disiarkan di bawah berita bertajuk "Sultan Selangor terikat Deklarasi 1992, perlu lantik Wan Azizah, kata Aziz Bari", Aziz dilaporkan berkata Sultan terikat dengan Deklarasi Prinsip Perlembagaan 1992 yang menetapkan peraturan bagi Sultan, termasuk menjelaskan peranan kerabat diraja dalam politik.

Manakala berita bertajuk "Only God, not Sultan, has absolute powers" pula, Dr Abdul Aziz dilaporkan berkata mengikut Perlembagaan, kuasa budi bicara Sultan dalam melantik menteri besar terhad kepada kes Parlimen tergantung.

Katanya, ini tidak boleh diaplikasikan dalam kes Selangor kerana Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempunyai sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Berita tersebut dibuat berdasarkan ucapan Aziz semasa forum anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) pada 8 September bertajuk "PAS Campur Umno: Ke Mana Hala Tuju" di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH).

Dua wartawan The Malaysian Insider telah memberi kenyataan kepada pihak polis berkenaan berita yang disiarkan oleh portal itu semalam.

INFOGRAFIK KRONOLOGI KES MELIBATKAN AKTA HASUTAN

Siasatan polis dijangka tamat hujung minggu ini selepas kenyataan pengadu dan Aziz direkodkan.

Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan merangkumi mana-mana individu yang "melakukan atau cuba untuk melakukan, atau bersiap untuk melakukan, atau merancang untuk melakukan apa-apa tindakan yang mungkin, atau jika dilakukan, akan berbaur hasutan".

Jika sabit kesalahan Dr Abdul Aziz boleh dipenjarakan 3 tahun dan didenda tidak lebih RM5,000 atau kedua-dua sekali.

Sebelum ini, seorang lagi ahli akademik, Prof Madya Dr Azmi Sharom dari Universiti Malaya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Awal bulan ini, aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim dan Safwan Anang dijatuhkan hukuman 10 bulan dan 12 bulan penjara dibawah akta yang sama.

Mereka didakwa melakukan kesalahan kerana kenyataan yang dibuat dalam sebuah forum pada 13 Mei tahun lepas yang menyeru orang ramai turun ke jalan raya jika tidak berpuas hati dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Seorang lagi aktivis Ali Abd Jalil berdepan tiga dakwaan menghasut kerana dikatakan menghina Sultan Johor dan Sultan Selangor di Facebook. Ali dibebaskan semalam selepas ditahan lebih 20 hari.

Wartawan Malaysiakini, Susan Loone ditahan di Pulau Pinang pada 4 September berhubung berita yang memuatkan wawancara bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Phee Boon Poh dan penahanan besar-besaran Pasukan Peronda Sukarela (PPS) pada Hari Merdeka.

Manakala pada 10 September, bekas anggota Dewan Ulama PAS Selangor Wan Ji Wan Hussin didakwa kerana mengeluarkan kenyataan menghasut di Facebook berhubung peranan Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam negeri.