Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi dari DAP, Dr Abdul Aziz Bari yakin Pakatan Harapan (PH) kekal sebagai kerajaan di negeri Perak berikutan situasi semasa yang berlaku di peringkat Persekutuan.

Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak berkata, penangguhan Sidang Dewan Rakyat juga memberikan petanda bahawa PH mempunyai kelebihan untuk kekal mentadbir di Perak.

"Sehingga hari ini pihak pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi belum mengumumkan pelantikan Kabinet.

"Walaupun kita mengatakan nasib atau kelangsungan kerajaan negeri bergantung kepada perkembangan di peringkat Persekutuan, saya yakin ia memihak kepada kita.

"Tidak mudah bagi pihak di sebelah sana (Perikatan Nasional) untuk membentuk kerajaan oleh kerana masalah yang timbul, saya rasa di pihak PN ada masalah untuk pelantikan Kabinet dan sebagainya... ini memberikan kesan dan harapan baik kepada negeri Perak," katanya.

Dia bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis pengumuman analisis keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2019 di Jabatan Pendidikan Negeri Perak pada Khamis.

Dalam pada itu, ketika mengulas tindakan berdiam diri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang sehingga kini masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi, dia yakin Ahmad Faizal masih berpihak kepada PH.

"Bentuk itu (kekal dengan PH) saya tidak boleh sebut sekarang kerana ia soal kepimpinan Pakatan Harapan terutamanya, saya melihat ada sesuatu yang kita boleh uruskan.

"Kita menunggu persidangan Parlimen ini dan pelantikan Kabinet, sudah pasti memberikan impak kepada kedudukan dan masa depan kerajaan negeri kita," katanya lagi.